Pages

Tuesday, August 23, 2011

Islam semakin berkembang pesat di Brazil

RIO DE JANEIRO 22 Ogos - Ajaran Islam di Brazil semakin berkembang apabila dilaporkan terdapat lebih 500 keluarga Islam di bandar raya ini yang sering dikenali dengan karnival serta gadis-gadis yang gemar berbikini.
Selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini, hanya keluarga berketurunan Arab dari Libya, Palestin dan Syria mengamalkan ajaran Islam di Brazil.
Bagaimanapun, keadaan banyak berubah kini apabila semakin ramai penduduk tempatan berketurunan bukan Arab mula memeluk Islam, termasuk seorang saudara baru yang mahu dikenali dengan nama Islamnya, Omar Israfil Dawud bin Ibrahim.
"Saya temui semua yang saya mahu dalam Islam. Islam adalah agama yang mempercayai satu Tuhan, tiada prasangka dalam agama ini," katanya yang pernah dilantik sebagai paderi Katolik empat tahun lalu.
Isterinya, Fatima yang mengambil keputusan memakai tudung selepas memeluk Islam berkata, ibunya pernah merasa terhina dengan tindakannya itu.
Pemakaian tudung Fatima yang jelas menunjukkan imej Islam itu juga menimbulkan rasa kurang senang di Rio, kota di mana wanita sering berbikini di jalan-jalan raya.
Jurucakap Persatuan Kebajikan Islam (SBMRJ), Sami Isbelle berkata, bilangan penduduk Brazil bukan Arab yang memeluk Islam semakin bertambah dengan kebanyakannya ditemui di Internet, malah kira-kira 85 peratus daripada 500 keluarga Islam di sini bukan berketurunan Arab.
Bancian di Brazil tidak memasukkan kira-kira sejuta penganut Islam dalam kategori agama utama, sebaliknya diletakkan di bawah kategori lain-lain agama bersama agama Buddha.
Satu daripada petunjuk terbaik menggambarkan perkembangan Islam di negara ini adalah pembinaan masjid yang kini mencapai 127 buah di Brazil, empat kali ganda lebih banyak berbanding tahun 2000. - AFP, utusan

No comments: