Gaddafi dan isterinya, Safia. |
TRIPOLI – Beberapa anggota keluarga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilaporkan kelmarin telah tiba di Algeria.
Ekoran itu, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mewakili para pemberontak dan kini dianggap pemerintah sah Libya mendakwa Algeria melakukan pencerobohan dengan membenarkan kemasukan isteri Gaddafi dan tiga anaknya.
Sebelum ini, Kementerian Luar Algeria menyatakan isteri Gaddafi, Safia, seorang anak perempuannya, Aisha dan dua anak lelakinya, Hannibal serta Mohammed memasuki Algeria kelmarin.
Bagaimanapun, Aisha melahirkan seorang anak perempuan awal semalam di Algeria sekali gus menyebabkan Gaddafi mendapat cucu terbaharu.
Menurut seorang pegawai pemerintahan Algeria, Aisha dan anaknya kini berada dalam keadaan baik.
Namun, dalam perkembangan berkaitan, seorang jurucakap NTC menyatakan pihaknya akan meminta supaya keluarga Gaddafi itu diekstradisi ke Libya.
Sementara itu, seorang pegawai pemberontak mendakwa seorang lagi anak Gaddafi, Khamis terbunuh dalam satu pertempuran di luar Tripoli.
Para pemberontak juga menumpukan serangan di bandar kelahiran Gaddafi di Sirte dari arah timur dan barat.
Lokasi persembunyian Gaddafi masih tidak lagi diketahui sejak para pemberontak menawan Tripoli daripada tentera pimpinannya.
Rejim pemerintahan Gaddafi tumbang seminggu lalu selepas 42 tahun berkuasa.
Para pemberontak berjaya menumbangkan rejim Gaddafi menerusi peperangan dengan bantuan pengeboman jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara yang turut disertai Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.
Sementara itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri di Libya diraikan dengan penuh kegembiraan ekoran tumbangnya rejim Gaddafi.
“Syukur kepada Tuhan. Aidilfitri tahun ini mempunyai keistimewaan. Kami mempunyai kebebasan pada Aidilfitri tahun ini,” kata seorang pakar komputer di sebuah firma minyak, Adel Kashad, 47. – Agensi, kosmo
No comments:
Post a Comment