AMPANG JAYA: Seorang remaja cedera di kepala selepas dipukul dengan sebatang kayu belantan berantai oleh tiga lelaki warga Myanmar yang dipercayai mabuk dalam kejadian di Taman Seraya, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan remaja berkenaan pengsan selama sejam akibat kecederaan dialami.
Mangsa, Muhamad Khairul Mustaza, 17, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum ditahan tiga lelaki terbabit yang kemudian terus membelasahnya hingga pengsan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiga lelaki berkenaan menahan dan memberi amaran akan memukul saya. Sebaik berkata demikian, mereka mengeluarkan kayu belantan lalu menghayunkan ke muka saya.
“Saya tidak mampu melawan dan merayu supaya jangan diperlakukan demikian kerana tidak membuat apa-apa kesalahan kepada mereka dan hanya mahu pulang ke rumah,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, akibat pukulan itu, dia cedera di kening kiri dan pengsan selama sejam.
“Sebaik sedar, saya sudah berada di rumah dan tidak tahu siapa membawa saya pulang sebelum menceritakan kejadian itu kepada abang. “Abang saya kemudian terus mencari tiga lelaki itu dan mendapati mereka sedang lepak di kawasan berkenaan dalam keadaan mabuk,” katanya.
Muhamad Khairul berkata, menyedari kehadiran abangnya semua lelaki itu melarikan diri. Bagaimanapun, dengan bantuan orang ramai, dua daripada mereka ditahan.
Katanya, dua lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment