Pages

Friday, July 22, 2011

Lelaki Jepun yang rogol dan bunuh wanita Inggeris dijel seumur hidup

TOKYO: Seorang lelaki Jepun, yang didapati bersalah merogol dan membunuh seorang wanita Britain pada 2007 dan mayatnya ditimbus pasir dalam tab mandi, semalam dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Tatsuya Ichihashi, 32 tahun, hanya dapat ditangkap selang dua setengah tahun selepas pembunuhan itu sebab dia telah menjalani bedah plastik.

Semasa perbicaraan, dia mengaku merogol Cik Lindsay Ann Hawker, 22 tahun, seorang guru bahasa Inggeris di pangsapurinya pada Mac 2007. Namun, dia mendakwa telah membunuh Cik Hawker secara tidak sengaja.

Ayah mendiang Hawker, Encik Bill, sebelum ini telah menggesa mahkamah daerah Chiba agar tidak menunjukkan sebarang belas kasihan terhadap Ichihashi dan menjatuhi hukuman mati.

Mayat Cik Hawker yang dalam keadaan bogel dan diikat tangan dan kakinya telah ditemui dalam tab mandi di balkoni pangsapuri Ichihashi pada Mac 2007.

Hasil bedah siasat menunjukkan Hawker meninggal dunia ekoran sesak nafas dan pihak pendakwa raya berkata Ichihashi mengaku telah mencekiknya selepas merogolnya.

Semasa perbicaraan, Ichihashi berkata selepas merogol mangsa, dia telah mengikatnya dan berbual selama beberapa jam dengan mangsa dan meminta maaf.

Menurutnya, dia tidak sengaja membunuh mangsa dan hanya mahu menekap mulutnya bagi menghalang mangsa daripada memekik meminta tolong.

Selepas pembunuhan itu, Ichihashi melarikan diri dan membuat kerja-kerja sambilan di serata tempat seperti di daerah Aomori dan pulau Okinawa.

Ichihashi kemudian telah mengunjungi sebuah hospital di Osaka bagi menjalani pembedahan plastik untuk mengubah bentuk hidung dan kelopak matanya.

Sebelum dia berjaya ditangkap pada November 2009, polis telah menampal gambar Ichihashi di dinding bangunan dan stesen kereta api seluruh Jepun.

Ichihashi telah menulis buku bertajuk 'Until the Arrest' mengenai pengalamannya semasa menjadi orang buruan.

Dia telah menawarkan hasil penjualan buku itu kepada keluarga mendiang Hawker.

Tawaran itu bagaimanapun telah ditolak. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: