Pages

Tuesday, July 19, 2011

Pemuda terbabit nahas maut guru wanita direman seminggu

KOTA BHARU: Seorang pemuda berusia 21 tahun ditahan reman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian kemalangan maut membabitkan seorang guru wanita, Junaidah Mohd Nor, 44, di Kampung Tunjong, di sini, 11 Julai lalu.
Pemuda yang memandu van ketika kemalangan itu ditahan polis pada hari lahir ke-44 guru berkenaan, kelmarin.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rozita Md Saad bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kasih seorang ibu tiada tandingannya apabila seorang guru yang dalam keadaan tersepit dan nazak dalam sebuah kereta sempat menggunakan sisa kudratnya memberi isyarat kepada empat anaknya keluar dari kereta, sebelum dia meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Junaidah yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera bagi menghantar empat anaknya ke sekolah, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Seorang anak mangsa Natasha Juliana Mohd Nawi, 10, patah kaki dan tangan manakala tiga lagi, Nurul Julia Mohd Nawi, 17; Nabila Jasmi, 15, dan Nur Jaihan Afilin, 13, cedera ringan.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu bertembung dengan van yang gagal dikawal akibat cuba memotong kenderaan lain.
Sebelum bertembung dengan kereta mangsa, van itu berlanggar dengan Perodua Kancil dan dua motosikal. Pemandu van itu menghilangkan diri selepas kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang di rumah keluarganya di Kampung Sungai Budur selepas seminggu menghilangkan diri.

Katanya, suspek ketika ditahan berada dalam rumah bersama ibu bapanya.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri sejurus kejadian kerana bimbang ditahan memandu tanpa lesen.

“Siasatan pihak kami mendapati suspek balik ke rumah secara kebetulan dan kami yang mendapat maklumat daripada orang ramai segera membuat intipan dan mengesan lokasi suspek. Ketika tangkapan dilakukan suspek gagal melepaskan diri kerana menyedari kawasan di sekeliling rumahnya sudah dikepung,” katanya.

Azham berkata, siasatan lanjut dijalankan mendapati, suspek tidak mempunyai pekerjaan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan ke atasnya.

Katanya, polis percaya kes kemalangan membabitkan lima kenderaan dekat Kampung Tunjong itu dapat diselesaikan dengan penahanan suspek.

Sementara itu, penahanan suspek dilakukan tidak sampai satu setengah jam selepas suami guru terbabit, Mohd Nawi Deraman, 45, ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk mengetahui perkembangan kes membabitkan kemalangan itu.
myMetro | Pemuda terbabit nahas maut guru wanita direman seminggu

No comments: