AMPANG: Tanpa sebarang sebab munasabah, seorang lelaki diacukan pisau kerana dituduh mempersendakan dua pondan dalam kejadian di Taman Nirwana, di sini, 13 Julai lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa bersama teman wanitanya berusia 20-an dalam perjalanan ke Taman Dagang, di sini, untuk makan malam sebelum melintas di hadapan dua pondan terbabit.
Menurut sumber, sebaik melepasi pondan itu, seorang daripada mereka tiba-tiba naik marah dan memaki-hamun sambil mengeluarkan kata-kata kesat kerana kononnya mangsa mempersendakan pakaian mereka.
“Mangsa yang bingung dengan tindakan pondan berkenaan kemudian memberhentikan motosikal untuk memberi penjelasan dia tidak mengeluarkan kata-kata seperti yang didakwa.
“Sebaik mangsa menghampirinya, pondan berkenaan masih tidak berpuas hati selain terus menuduh mangsa mengeluarkan kata-kata menjatuhkan maruahnya dan kemudian terus menghubungi seseorang dipercayai abang kepada seorang daripada pondan itu,” katanya.
Katanya, beberapa minit kemudian muncul seorang lelaki menunggang motosikal dan menghampiri mangsa sambil mengugut agar mangsa tidak membuat kacau di kawasan itu.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek terus menjarakkan diri kerana bimbang suspek bertindak di luar jangkaan dan boleh mendatangkan kecederaan.
“Suspek terus mengugut untuk mencederakan mangsa selain mahu memanggil beberapa rakan lain dengan harapan mangsa takut dan beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Sumber berkata, menyedari keselamatan diri dan teman wanitanya terancam, mangsa terus menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang mengetahui polis akan tiba di tempat kejadian melarikan diri.
“Beberapa minit kemudian, polis yang menaiki kereta peronda tiba di tempat kejadian tetapi gagal menahan suspek yang meloloskan diri lebih awal,” katanya.
Menurutnya, polis kemudian menahan pondan terbabit dan dibawa ke Balai Polis Ampang untuk siasatan lanjut dan mengambil butiran mengenai suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
No comments:
Post a Comment