Pages

Tuesday, July 19, 2011

Jenazah Ahli Parlimen Titiwangsa selamat dikebumi




ABDUL Hadi Awang dan Dr. Aminuddin Abd. Hamid Karim mengaminkan doa pada pengkebumian jenazah Dr. Lo' Lo' di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Julai - Suasana pilu menyelubungi Masjid Al-Akram, Datuk Keramat di sini hari ini apabila orang ramai hadir menziarahi jenazah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd. Ghazali (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Selayang malam tadi.
Allahyarham yang merupakan doktor perubatan berusia 54 tahun, disahkan meninggal dunia pukul 10.15 malam tadi akibat penyakit kanser.
Jenazah Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dan AJK Dewan Muslimat Pas Pusat itu dimandi, dikafan dan disembahyangkan di masjid tersebut.
Solat jenazah diimamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pukul 10 pagi sebelum jenazah diusung ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid.
Jenazah ibu kepada empat anak berusia antara 25 hingga 30 tahun itu selamat disemadikan pada pukul 10.30 pagi.
Antara yang hadir menziarahi jenazah ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd. Yusof.
Sementara itu, suami Lo' Lo', Prof. Madya Dr. Aminuddin Abd. Hamid Karim berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang menderita penyakit kanser sejak Ogos 2009.
"Arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir berpesan supaya segala tugas ke arah keagamaan yang diusahakannya dapat diteruskan.
"Beliau ingin melihat anak-anak muda tidak meninggalkan solat dan menjauhi maksiat. Pesanan itu diberikan kepada anak-anak kami," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.
Utusan Malaysia Online - Politik

No comments: