REMUK...kereta Ford Laser yang merempuh anggota JPJ, semalam. |
SEREMBAN: “Ketika kejadian saya nampak kereta Ford Laser berwarna hijau itu seperti hilang kawalan, lalu saya terus melompat mengelak diri daripada dilanggar,” kata Mohd Aezrool Aadzree Rosni, 29, anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang terselamat dalam kemalangan menyebabkan dua maut di Jalan Nilai-Batang Benar, berhampiran stesen komuter Batang Benar, Mantin, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, turut terkorban ialah anggota JPJ, Wardi Ahmad, 28, dan pemandu Ford Laser, Ismail Dahlan, 44, yang meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) akibat parah di kepala dan badan.
Difahamkan, anggota JPJ berasal dari Kelantan ketika itu berada di belakang kereta Toyota Fortune yang juga kenderaan rasmi jabatan itu untuk mengambil barang dalam but sebelum kereta dari arah belakang merempuh mangsa.
Mohd Aezrool berkata, ketika kejadian dia berdiri di sebelah pintu pemandu kereta jabatan terkejut apabila melihat kereta Ford itu hilang kawalan sebelum melarikan diri ke depan.
“Mujur saya sempat menyelamatkan diri, jika tidak berkemungkinan besar turut menjadi mangsa dalam kemalangan itu, namun tidak sangka rakan sekerja yang paling akrab dengan saya pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HTJS.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata, malah dua lagi anggota JPJ yang memeriksa lori ketika itu tidak menyangka mangsa menjadi korban.
Menceritakan detik cemas, Mohd Aezrool berkata, dia bersama tiga anggota meronda kawasan Nilai dan ternampak lori rosak berhenti di bahu jalan. “Kami semua turun memeriksa lori yang diparkir di tepi jalan, malah kenderaan jabatan diparkir di belakang lori itu bersama-sama Toyota Hilux milik penyelia lori berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa ke bahagian but kereta jabatan untuk mengambil barang dan ketika itulah dia yang berada di bahagian pintu pemandu terkejut melihat kereta Ford itu meluru ke arah kenderaan mereka.
Mohd Aezrool tidak menolak kemungkinan pemandu Ford itu cemas melihat kereta jabatan yang ketika itu memasang siren.
“Saya tidak pasti, tetapi saya rasa pemandu kereta itu cuba memakai tali pinggang hingga menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu merempuh mangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, mangsa berkhidmat dengan jabatan itu selama tiga tahun dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
“Mangsa meninggalkan seorang balu yang sarat mengandung dan seorang anak. Kejadian ini memang tragis dan menyedihkan kepada jabatan negeri ini memandangkan mangsa meninggal dunia ketika bertugas,” katanya.
No comments:
Post a Comment