KUALA LUMPUR: Pakatan setan. Itulah ungkapan layak diberikan kepada seorang pemandu teksi berusia lewat 30-an dan rakan subahatnya yang cuba melarikan seorang wanita sebelum menyamun mangsa di pusat beli-belah di sini, kelmarin.
Lebih kejam apabila dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 22 tahun dicampak keluar dari kenderaan berkenaan selepas kedua-dua suspek merampas barangan miliknya dianggarkan bernilai lebih RM500.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata, kejadian bermula apabila mangsa menaiki teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja.
“Namun dalam perjalanan pulang, pemandu teksi berusia lewat 30-an itu menghentikan kenderaannya di bahu jalan berhampiran Taman Seputeh.
“Belumpun sempat mangsa mempersoalkan perbuatan pemandu teksi itu, seorang lelaki menaiki motosikal berhenti sebelum masuk ke dalam kenderaan itu.
“Suspek yang bersenjatakan sebilah pisau mengarah mangsa menyerahkan barangan berharga miliknya,” katanya, semalam.
Menurutnya, mangsa cuba mempertahankan dirinya menyebabkan berlaku pergelutan lebih 10 minit.
“Mangsa juga beberapa kali cuba keluar dari teksi itu, namun gagal sebelum dia dipukul suspek,” katanya.
Perbuatan itu disedari seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya berusia awal 20-an yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
“Dua beranak terbabit yang curiga dengan keadaan itu mengekori teksi itu. Tindakan saksi yang beberapa kali membunyikan hon keretanya menyebabkan kedua-dua suspek panik.
“Selepas berjaya merampas barangan milik mangsa, suspek mencampak wanita terbabit keluar dari teksi berkenaan,” katanya.
Katanya, dua beranak terbabit membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum wanita terbabit diberikan rawatan susulan.
Sehubungan itu, saksi kejadian tampil membuat laporan mengenai insiden itu di Balai Polis Brickfields.
Khairi berkata, polis sudah menemui teksi dan motosikal digunakan mereka untuk aktiviti jenayah itu.
No comments:
Post a Comment