Pages

Thursday, June 16, 2011

Pengganas dibebaskan AS kembali sertai Al-Qaeda

WASHINGTON - Seorang pengganas yang disifatkan orang penting dalam pemburuan bekas Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) kembali menyertai kumpulan itu.
Dia sebelum ini dibebaskan oleh pegawai-pegawai di era pemerintahan Presiden George W. Bush.
Pengganas itu dibebaskan dari sebuah penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) kerana tekanan daripada Pakistan, menurut beberapa bekas pegawai dan pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS).
Tidak lama selepas CIA memutuskan untuk menutup penjara-penjara rahsia tersebut, agensi perisikan AS berkenaan memulangkan anggota Al-Qaeda terbabit, Hassan Ghul ke negara asalnya, Pakistan pada 2006.
Pakistan menuntut supaya Hassan dibebaskan sejak dua tahun sebelumnya.
Dia ditahan di Pakistan selama sekurang-kurangnya setahun sebelum dibebaskan, seterusnya kembali menyertai Al-Qaeda untuk membantu melancarkan serangan ke atas AS, kata pegawai-pegawai berkenaan.
Keputusan Pakistan membebaskan Hassan yang merupakan ketua Al-Qaeda peringkat pertengahan, merupakan satu lagi tamparan dalam hubungan AS dengan Pakistan.
Washington ketika ini memikirkan semula hubungannya dengan Islamabad dan sangsi sama ada Pakistan merupakan sekutu yang boleh dipercayai dalam usaha untuk memerangi keganasan. - AP
Kosmo! Online - Dunia

No comments: