Pages

Thursday, June 16, 2011

50 sen amat bernilai

FAYOUM: Selepas menjelajah kawasan peranginan orang kaya di Mesir, kami ingin menjengah pula lokasi pilihan golongan kebanyakan di negara ini dan agak terkejut apabila mendapat tahu ia ialah di kawasan individu paling kaya pada zaman dulu iaitu Qarun yang terkenal dengan kisah istananya ditenggelami Allah menjadi tasik, iaitu Tasik Qarun.
Terletak kira-kira 120 kilometer dari Kaherah, perjalanan ke situ melalui dua pos kawalan yang hanya memerlukan kita mengangkat tangan (tidak seperti ke Dahab, Taba, Sinai sebelum ini dikawal dan diperiksa rapi) dan anggota keselamatannya pula lebih murah dengan senyuman.

Selepas melepasi bangunan di Kaherah, kelibat Gurun Sahara mula kelihatan dan belum pun keterujaan melihat padang pasir berakhir, kami memanjat kesyukuran kerana dapat menikmati pandangan kawasan dipenuhi pasir halus itu.
Saya dan jurugambar ditunjukkan satu lagi kekuasaan Allah apabila melihat satu perkampungan yang begitu subur dengan pelbagai tanaman.

Sebenarnya Fayoum atau Qayyum paling subur dan dijadikan kawasan pertanian di Mesir dengan kebanyakan hasil tani dibawa ke Kaherah.

Kawasan itu turut terjejas ketika pemerintahan Hosni Mubarak apabila Kabinetnya menggubal undang-undang membolehkan tanah petani di kawasan berkenaan diambil dan dijual kepada pihak tertentu tanpa disedari, sekali gus menyebabkan mereka turut memberontak di Dataran Tahrir pada 28 Januari lalu.
Apa yang menarik di perkampungan yang menempatkan orang kaya paling bongkak satu ketika dulu kini dipenuhi orang Arab miskin paling berbudi bahasa dan cukup berbeza dengan masyarakat Arab yang saya temui di Kaherah atau kawasan lain sebelum ini.

Sikap itu memudahkan jurugambar menjalankan tugas kerana tidak kisah gambar mereka dirakamkan, malah ketika dihulurkan sedikit wang, mereka akan menolak dengan penuh sopan. Dalam hati terdetik mungkin mereka keturunan Qarun yang terselamat daripada azab Allah dan belajar daripada kesilapan kaum berkenaan.
myMetro | 50 sen amat bernilai

No comments: