Pages

Monday, June 20, 2011

'Pak Uda' meninggal dunia



  • Foto
    Zami Ismail
Allahyarham tak pernah maklum keluarga masalah jantung

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Zami Ismail, 67, yang meninggal dunia semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat kegagalan jantung tidak pernah memaklumkan kepada isteri dan sembilan anaknya mengenai penyakit dihidapi.
Malah, Allahyarham yang juga dikenali sebagai Pak Uda dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau tanda-tanda menghidap penyakit kronik.
Anak keduanya, Ahmad Yamashita, 38, berkata bapanya seorang yang berahsia dan sukar melihat dirinya mempunyai masalah atau sakit teruk.

“Tak nampak perbezaan ketara pada diri dia, tiba-tiba saja sakit dan kami tak tahu dia ada masalah jantung cuma sebelum ini dia sering mengadu sakit dada.

“Dia memang sering sakit tapi sakit biasa saja, malah kami pernah melarang dia buat kerja-kerja berat termasuk berlakon tetapi dia seorang yang komited dengan kerja walau sakit sikit pun dia tetap nak pergi juga,” katanya.

Sebelum dimasukkan ke IJN, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Selayang pada 1 Mei lalu dan Hospital Ampang pertengahan Mei lalu akibat sesak nafas.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez pula menyifatkan Allahyarham seorang yang cekal dan kuat bekerja walaupun mengalami masalah kesihatan.

Menyedari Allahyarham sering mengalami masalah kesihatan, Freddie tidak berupaya menghalang Allahyarham untuk terbabit dalam pementasan muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 26 Jun ini di Restoran Seri Melayu.

“Saya tahu dia tak berapa sihat tetapi dia seorang yang komited dan ingin terbabit dalam pementasan itu. Saya pernah halang dia untuk teruskan dalam pementasan ini, namun kerana kesungguhan ditunjukkan saya beri peluang padanya,” katanya.

Bagi pelakon, Maimunah Ahmad atau Mak Jah, kehilangan Zami memberi kesan kepada industri hiburan tempatan terutama dalam bidang komedi kerana kehilangan seseorang yang banyak berjasa dalam bidang terbabit.

“Saya anggap dia macam ayah kerana dia sering memberikan tunjuk ajar terutama hal berkaitan agama. Dia seorang yang kelakar dan mudah buat orang tersenyum,” katanya.

Allahyarham Zami disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi di sisi isteri dan ahli keluarganya selepas seminggu dirawat di IJN.

Sejak dimasukkan ke IJN, Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehingga Sabtu lalu kerana keadaannya yang semakin tenat.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pekan Kecil di Tapah Road di sini, sebelum solat Asar semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim, 57, dan sembilan anak, Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Saufi, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Al Bahman, 21.

Allahyarham yang aktif dalam bidang lakonan sejak 1985 membintangi lebih 20 filem termasuk dua filem yang belum ditayangkan iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit dan Shh...Dia Datang.
Berita Harian Online | 'Pak Uda' meninggal dunia

2 comments:

Mohamad said...

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman.. Alfatehah..

Abu Hatim said...

Al-fatehah