Pages

Sunday, June 26, 2011

Maut tertembak kepala


TRAGEDI... ahli keluarga dan penduduk setempat mengusung jenazah Basri untuk dikebumikan, semalam.
TRAGEDI... ahli keluarga dan penduduk setempat mengusung jenazah Basri untuk dikebumikan, semalam.


SUNGAI SIPUT: Ngeri apabila seorang lelaki bujang yang sedang leka membersihkan muncung senapangnya, tertembak kepala sendiri menyebabkan peluru menembusi dahi hingga ke otak mangsa.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Basri Din, 50, mencuci senapang angin buatan sendiri di belakang dapur rumahnya di 66 A Felda Lasah, Lintang, di sini.

Mangsa yang bertarung nyawa lebih tiga jam menerima rawatan kecemasan bagaimanapun menghembus nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang tinggal bersama kedua ibu bapa serta adik beradik lain di rumah itu tertembak diri sendiri ketika membersihkan senapang angin, kira-kira jam 2.30 petang.


“Sebelum kejadian, mangsa berseorangan di beranda dapur belakang rumah dan sibuk membersihkan senapang buatan sendiri. Ibu bapa dan adik beradiknya yang lain berada di dalam rumah menonton televisyen.

“Tiba-tiba seorang daripada ahli keluarga mangsa terdengar letupan kuat dari belakang rumah dan menyangkakan bunyi itu berpunca daripada tayar motosikal yang meletup,” katanya.

Bagaimanapun, seorang daripada adik mangsa yang menjenguk ke bahagian belakang rumah mendapati abangnya sudah terbaring berlumuran darah.

Azman berkata, mangsa dikejarkan ke HRPB untuk menerima rawatan dan akhirnya meninggal dunia.

“Bedah siasat mendapati mangsa mengalami pendarahan serius di kepala selepas tembakan senapang itu yang mengenai kening kanan sebelum pelurunya melekat ke bahagian otak lelaki itu.

“Siasatan awal juga mendapati, mangsa dipercayai gemar berburu dan tidak mempunyai lesen senjata api sehingga dia bertindak mereka sendiri senapang berkenaan," katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan mangsa tertekan picu senapang itu ketika membersihkannya sebelum tertembak diri sendiri.

"Senapang angin itu sudah diambil untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui di tanah perkuburan Islam Felda Lasah enggan memberikan sebarang ulasan berhubung kejadian itu selepas mangsa selamat disemadikan pagi semalam.
myMetroMaut tertembak kepala

No comments: