Pages

Sunday, June 26, 2011

AS komited bantu Filipina dalam isu Spratly

GAMBAR dirakam Agensi Berita Vietnam yang disiarkan pada 14 Jun 2011 menunjukkan Pulau Phan Vinh yang dituntut Vietnam di Kepulauan Spratly. - AFP


WASHINGTON - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton menegaskan bahawa AS komited terhadap pertahanan Filipina dan akan membekalkan negara berkenaan dengan persenjataan yang mampu ia miliki.

Kenyataan pada Khamis lepas itu dibuat Clinton susulan ketegangan di Laut China Selatan yang kian memuncak terutamanya melibatkan tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly.

Kawasan tersebut yang kaya dengan hasil minyak dan gas dituntut oleh Filipina, China, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Malaysia.

Setiausaha Negara AS berkenaan bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada AS akan membantu Filipina jika berlaku serangan oleh China ke atas tentera negara itu berhampiran Kepulauan Spratly.

Beliau sebaliknya memberitahu, AS akan menghormati perjanjian pertahanan dengan sekutunya di Asia Tenggara itu.

"Saya tidak mahu membincangkan perkara berbentuk andaian tetapi saya mahu menegaskan komitmen kami (AS) terhadap pertahanan Filipina," kata Clinton pada satu sidang media di sini Khamis lepas selepas pertemuannya dengan Menteri Luar Filipina, Albert del Rosario.

Pada pertemuan tersebut, Rosario memaklumkan kepada Clinton bahawa China melakukan sembilan pencerobohan di perairan Spratly yang dituntut oleh Filipina sejak 25 Februari lalu.

Situasi berhubung tuntutan ke atas Kepulauan Spratly bertambah tegang selepas Vietnam turut terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan China berhubung dua insiden di Laut China Selatan baru-baru ini.

Pada tahun 1988, beberapa pertempuran membabitkan tuntutan keatas Kepulauan Spratly antara China dan Vietnam telah meragut nyawa lebih 70 kelasi Vietnam. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: