SANAA 1 Mei - Pelan yang dirundingkan oleh negara-negara Teluk bagi menamatkan krisis di Yemen di ambang kegagalan, hari ini selepas Presiden Ali Abdullah Saleh enggan menandatangani perjanjian penyerahan kuasa.
Perantara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) memberitahu pembangkang Yemen semalam, Saleh bersedia menurunkan tandatangan selaku pemimpin partinya tetapi enggan berbuat demikian sebagai Presiden negara ini seperti yang dikehendaki di bawah perjanjian itu.
Saleh yang dianggap sebagai sekutu lama Amerika Syarikat (AS) dalam kempen memerangi al-Qaeda di Yemen telah pun memaksa perantara menjadualkan majlis menandatangani perjanjian itu selama dua hari, satu di Sanaa, semalam dan satu lagi di Riyadh, hari ini.
Namun, Setiausaha Agung GCC, Abdullatif al-Zayani meninggalkan Sanaa semalam tanpa mendapatkan tandatangan Saleh, kata pegawai pembangkang, Sultan al-Atwani kepada Reuters, semalam.
Perikatan utama pembangkang Yemen, bagaimanapun masih berharap negara-negara Teluk akan berjaya memujuk Saleh menandatangani perjanjian yang pada dasarnya telah dipersetujui oleh Presiden itu dan kem pembangkang.
"Perkara itu kini berada di tangan negara-negara Teluk, kerana jika mereka dapat memujuk Saleh, itulah sebaik-baiknya," kata tokoh pembangkang, Mohammed Basindwa yang disebut-sebut bakal menjadi Perdana Menteri kerajaan sementara.
Mengikut perjanjian GCC itu, Saleh akan menyerahkan kuasa dalam tempoh sebulan, menjadi pemimpin ketiga yang tersingkir dalam gelombang kebangkitan rakyat yang melanda Asia Barat.
Penunjuk perasaan berkata, mereka akan meneruskan protes jalanan sehingga Saleh berundur dan mereka juga mahu beliau dibicarakan atas tuduhan rasuah dan menyebabkan kematian kira-kira 144 aktivis prodemokrasi. - Reuters, utusan
No comments:
Post a Comment