Pages

Friday, May 20, 2011

Kirkuk bergegar



ANGGOTA bomba Iraq memadamkan api pada sebuah kereta yang musnah di salah satu tapak serangan bom di Kirkuk, kira-kira 250 km ke utara Baghdad, Iraq, semalam. - REUTERS


KIRKUK, Iraq 19 Mei - Satu siri serangan bom yang disasarkan terhadap polis di Kirkuk, utara Iraq mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang hari ini serta mencederakan 70 yang lain, keganasan terburuk yang menggemparkan negara dalam tempoh dua minggu.

Pegawai keselamatan Mejar Salam Zangan berkata, tiga letupan tersebut dilancarkan selang satu jam antara satu sama lain dengan letupan pertama berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi waktu tempatan (2.20 petang waktu Malaysia) apabila sebuah bom meletup di sebuah tempat letak kereta di ibu pejabat polis bandar ini.

Katanya, sebuah lagi bom kereta turut meletup tidak lama selepas polis dan kakitangan kecemasan tiba di lokasi kejadian.

"Letupan hari ini mengorbankan 27 orang dan mencederakan 70 yang lain. Kebanyakan yang maut ialah anggota polis," kata Pengarah Jabatan Kesihatan wilayah Kirkuk, Sadiq Omar Rasul.

Seorang wartawan AFP melaporkan, letupan berkembar itu mengakibatkan kerosakan teruk kepada kenderaan polis dan orang ramai yang berada berhampiran.

Beberapa kenderaan polis melalui pembesar suara turut meminta orang ramai menderma darah untuk mangsa-mangsa terlibat.

Seorang pegawai polis, Kolonel Aras Mohammed berkata, satu lagi letupan berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi waktu tempatan berhampiran satu konvoi yang membawa pegawai polis kanan di Kirkuk.

Jelas beliau, pegawai tersebut dan 13 lagi pengawalnya cedera dalam kejadian tersebut.

Angka korban dalam kejadian letupan hari ini merupakan yang tertinggi di Iraq sejak 29 Mac lalu apabila sekumpulan anggota militan al-Qaeda dan pengebom nekad menyerbu sebuah bangunan pentadbiran wilayah di Tikrit yang membunuh 58 orang. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: