Pages

Wednesday, April 20, 2011

Syria beri amaran henti bantahan

BEIRUT: Syria mengeluarkan amaran keras kepada rakyatnya menghentikan bantahan, beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan, mengorbankan seorang.
Kenyataan kerajaan itu dibuat selepas pasukan keselamatan bertindak lebih tegas bagi menamatkan bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Assad yang berlarutan selama sebulan.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, kematian akibat tindakan terhadap bantahan sejak empat bulan lalu sudah mencecah 200 orang.
Kementerian dalam negeri Syria semalam menggesa rakyatnya membantu pihak berkuasa mengekalkan ketenteraman awam dengan tidak terbabit dalam tunjuk perasaan.


Dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen Syria, kementerian itu berkata semua undang-undang akan dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan negara.


Beberapa jam sebelum pengumuman itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang bertindak duduk beramai-ramai di sebuah medan di tengah-tengah bandar Homs.


Saksi di tempat kejadian berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.
“Mereka menembak membuta tuli. Asap menyelubungi kawasan berkenaan.
“Saya melihat beberapa orang terbaring, separuhnya ditembak di kaki,” kata seorang aktivis.


Jalan raya itu lengang pada awal tengah hari dengan kebanyakan penduduk memilih untuk tidak keluar rumah.


Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di medan Jam di Homs sejak kelmarin, membawa tilam dan bekalan makanan, bagi mengadakan bantahan seperti rakyat Mesir yang berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak. – AP Berita Harian Online | Syria beri amaran henti bantahan

No comments: