Pages

Sunday, April 10, 2011

3 warga asing maut bertembung lori


Mayat tiga warga asing yang maut apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Kuantan-Kemaman, semalam.


KUANTAN 9 April – Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Proton Saga yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Ular di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Kuantan-Kemaman dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kereta terbabit memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dari arah Kemaman ke Kuantan.
“Ekoran itu, pemandu kereta dan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai warganegara Indonesia dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.UTUSAN

No comments: