Pages

Sunday, March 20, 2011

Pemimpin negara Arab, AS, Barat bincang tindakan ketenteraan





2011/03/20

PARIS: Pemimpin negara Arab, Amerika Syarikat dan negara Barat lain mengadakan pertemuan di sini semalam bagi membincangkan kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap pasukan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. 

Duta Perancis ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gerard Araud, berkata beliau menjangka tindakan ketenteraan itu akan dilancar beberapa jam selepas mesyuarat membuat keputusan.
Mesyuarat berkenaan menyusuli resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan untuk melindungi orang awam di Libya.
Sementara itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyemak rancangan yang menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya. 

Majlis NATO dijangka mengeluarkan arahan untuk melancarkan operasi berkenaan dalam beberapa hari lagi. Pegawai badan itu berkata kakitangan tentera sedang menyempurnakan rancangan untuk mengerah berpuluh-luluh jet pejuang, jet pengebom, helikopter dan pesawat pemantauan di selatan Eropah. 

Mesyuarat majlis NATO itu dihentikan semalam untuk menanti keputusan mesyuarat di Paris berkenaan. 

Amerika Syarikat (AS) mempunyai beberapa pasukan tentera dan kapal tentera laut di kawasan berhampiran Libya, termasuk kapal selam, kapal perang, kapal tempur dan kapal mendarat. 
Pegawai AS belum mendedahkan peranan yang bakal dimainkan negara kuasa besar itu tetapi Presiden Barack Obama berkata ia tidak akan membabitkan tentera darat. 

Pesawat AWACS milik NATO sudah pun memantau sepanjang 24 jam sehari ruang udara di atas pesisir pantai Libya bagi memberi laporan perkembangan di ruang udara dan medan perang negara Afrika Utara itu. 

Penganalisis berkata pesawat yang akan menguat kuasa zon larangan terbang itu akan menggunakan pangkalan di Sigonella, Sicily, Aviano di utara Itali, Istres di selatan Perancis dan Ventiseri-Solenzara di Corsica. – AFP 

No comments: