2011/03/26
PULUHAN mangsa gempa diangkut ke hospital menggunakan trak di Tachileik, Myanmar, semalam.
YANGON: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh di Myanmar dan seorang lagi di Thailand manakala beratus-ratus bangunan musnah selepas gempa bumi dengan ukuran 6.8 skala Richter di kawasan Segi Tiga Emas, berdekatan sempadan Thai malam kelmarin, kata pegawai kerajaan kedua-dua negara.
Laporan menyatakan gegaran dapat dirasai hingga ke Bangkok, Thailand kira-kira 800 kilometer dari pusat gempa, Hanoi dan sebahagian China.
Seorang pegawai kerajaan Myanmar berkata berpuluh orang terbunuh di dua bandar berdekatan dengan pusat gempa.
“Jumlah kematian meningkat lebih 50 orang di pekan Tarlay dan Mine Lin,” kata pegawai.
“Jalan ditutup. Mengikut maklumat yang diperoleh, lebih 130 bangunan runtuh akibat gempa itu. Mungkin lebih banyak kemusnahan dan kecederaan,” katanya.
Sementara itu di kawasan sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata seorang wanita berusia 52 tahun terbunuh di daerah Mae Sai, selepas dinding rumahnya runtuh.
Radio Myanmar mengumumkan 74 orang terbunuh dan 111 lagi cedera tetapi angka kematian dijangka meningkat. Ia melaporkan 390 rumah, 14 kuil Buddha dan sembilan bangunan kerajaan rosak teruk.
Pegawai daripada Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) berkata kemusnahan teruk berlaku di kampung Mong Lin, lapan kilometer dari Tachileik dengan 29 dilaporkan terbunuh dan 16 lagi cedera.
Akhbar melaporkan dua orang terbunuh termasuk kanak-kanak berusia empat tahun di Tachileik, bandar bersempadan dengan Mae Sai, wilayah Chiang Rai, Thailand.
Penduduk yang ketakutan di wilayah itu meninggalkan rumah masing-masing, ketika bangunan tinggi runtuh, manakala hospital dan sekolah dikosongkan ketika gempa bumi itu.
Di Yangon, pengarah wilayah bagi badan kebajikan World Vision, Chris Herink berkata kemusnahan prasarana akibat gempa tidak begitu kelihatan di kawasan terjejas seperti Kengtung dan Tachileik, walaupun banyak bangunan retak dan gangguan bekalan air di beberapa kawasan.
“Kawasan bergunung ganang berdekatan sempadan antara Thailand dan Laos, dikenali sebagai Segi Tiga Emas. Banyak perniagaan dijalankan di kawasan ini,” katanya.
Gempa bumi itu berlaku kira-kira 90 kilometer ke utara Chiang Rai dan 235 kilometer timur laut Chiang Mai, destinasi pelancong terkenal Thailand.
Jabatan Kaji Cuaca Thailand mencatatkan enam gempa susulan selepas gempa bumi kuat itu.
Penduduk di bandar Chiang Rai berlari keluar dari rumah masing-masing semalam sebaik gempa susulan kembali.
Empat kuil di pekan bersejarah Chiang Saen berdekatan sempadan utara Thai turut musnah termasuk Chedi Luang, apabila tiangnya setinggi tiga meter tumbang.
Stesen Radio Kebangsaan China melaporkan gegaran turut dirasai di wilayah Yunnan, tetapi tiada kematian atau runtuhan bangunan berlaku. – AP/AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment