Pages

Saturday, March 26, 2011

NATO berbelah-bahagi

BRUSSELS 25 Mac – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini bersiap sedia untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dan menghalang pesawat perang rejim Muammar Gaddafi, tetapi belum dapat dipastikan sama ada perikatan itu akan mengambil alih seluruh operasi ketenteraan di sana.
Berikutan rundingan berlarutan yang tertumpu kepada bantahan Turki terhadap kempen serangan udara tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Libya, NATO lewat semalam bersetuju untuk mengetuai operasi bagi menguatkuasakan zon larangan terbang tetapi belum bersedia untuk mengetuai serangan ke atas tentera darat Gaddafi.
NATO buat masa ini akan melancarkan operasi dalam masa tiga hari akan datang untuk mencegah jet-jet pejuang Gaddafi daripada berlepas, termasuk menembak jatuh pesawat jika perlu, sementara tentera bersekutu terus bertanggungjawab membedil tentera darat Libya.
Turki, satu-satunya negara Islam dalam NATO dan sebuah kuasa serantau, enggan menyertai sebarang misi pertempuran, dan memandangkan perikatan 28 negara itu membuat keputusan menerusi konsensus, sokongan Ankara diperlukan bagi meluaskan skop misi.
Satu lagi persoalan penting ialah siapa yang akan mengambil alih kawalan politik terhadap operasi ketenteraan itu.
Perancis memberi amaran menjalankan misi itu di bawah bendera NATO tidak akan disenangi oleh sekutu di kalangan negara Arab.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy semalam berkata, penyelarasan keputusan politik mesti berada di tangan sebuah perikatan antarabangsa yang merangkumi Liga Arab, manakala peranan NATO terbatas kepada operasi ketenteraan secara harian.
Kuasa Barat yang mengetuai kempen itu, AS, Perancis dan Britain menekankan keperluan untuk melibatkan negara Arab dalam kempen di Libya, tetapi setakat ini hanya Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyumbangkan jet pejuang.
Sementara itu, pesawat perang Barat membedil sasaran di selatan Libya malam tadi tetapi gagal menyekat kereta kebal kerajaan masuk semula ke bandar Misrata di barat negara itu.
Komander Barat berharap tentera pemberontak di timur Libya akan dapat menggulingkan Gaddafi, tetapi kemasukan semula kereta kebal rejim ke Misrata pada waktu malam menunjukkan kesukaran yang dihadapi bagi memaksa pemimpin Libya itu mengadakan gencatan senjata.
Pemberontak yang telah mendirikan kerajaan alternatif pimpinan bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel-Jalil di Benghazi, berkata, mereka memerlukan lebih banyak peluru dan senjata pemusnah kereta kebal untuk membolehkan mereka menumbangkan rejim Gaddafi. – AFP/Reuters

No comments: