Pages

Saturday, March 5, 2011

‘Ejen WikiLeaks’ dibiar bogel


2011/03/05


WASHINGTON: Seorang peguam kepada seorang askar yang disyaki membocorkan maklumat sulit kerajaan Amerika Syarikat kepada laman web pembocor maklumat WikiLeaks, menuduh pihak berkuasa tentera mendera anak guamnya dan sengaja membiarkannya selama tujuh jam dalam keadaan bogel di penjara.
David Coombs, dalam blognya menulis bahawa pegawai di penjara tentera Quantico Brig, Virginia, menanggalkan semua pakaian prebet tentera Bradley Manning, 23, lewat Rabu lalu. “Dia dibiarkan di bilik kurungannya dalam keadaan bogel selama tujuh jam. Pada kira-kira jam 5 pagi dia dipaksa berdiri bogel di hadapan biliknya ketika pemeriksaan, sebelum pakaiannya diserahkan semula 10 minit kemudian.

“Layanan yang penuh penghinaan ini tidak boleh dimaafkan dan sebarang alasan untuk melakukannya tidak boleh diterima. Ia amat memalukan sistem perundangan tentera dan tiada tolak ansur mengenai perkara ini,” katanya.

Coombs berkata, Manning juga diberitahu bahawa perkara yang sama akan dilakukan terhadapnya selepas ini. Tiada tahanan lain di Quantico Brig dipaksa melalui pengasingan dan penghinaan seperti itu.

Penyokong Manning, peguam bela dan kumpulan hak asasi sudah mengemukakan bantahan terhadap alasan penahanannya dan mempersoalkan kawalan maksimum dan layanan tidak berperikemanusiaan itu. – AFP
Berita Harian Online

No comments: