Pages

Tuesday, February 8, 2011

Wanita dakwa sakit kulit angkara ubat hospital



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2011/02/08



NORMAH menunjukkan kulitnya yang mengelupas serta gatal selain mukanya yang bengkak selepas mendakwa  memakan ubat diberi Hospital Raja Perempuan Zinab II, Kota Bharu.
NORMAH menunjukkan kulitnya yang mengelupas serta gatal selain mukanya yang bengkak selepas mendakwa memakan ubat diberi Hospital Raja Perempuan Zinab II, Kota Bharu.


Kejadian berlaku selepas dapat rawatan cuci buah pinggang

KOTA BHARU: Seorang suri rumah terpaksa menanggung penderitaan penyakit kulit kronik, setelah memakan ubat yang didakwa tersalah diberikan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Akibat kejadian itu, kulit wanita itu menggelupas serta gatal selain bengkak keseluruhan muka sehingga sukar untuk membuka mata, bercakap dan berjalan, menyebabkan suaminya bertindak membuat laporan polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini, semalam.

Dzulkifli Roffeen, 57, berkata pada 18 Januari lalu, isterinya, Normah Husin, 47, yang menghidap penyakit buah pinggang menjalani rawatan mencuci buah pinggang di hospital berkenaan dan dua hari kemudian dibenarkan keluar dengan dibekalkan pelbagai jenis ubat.

Katanya, seminggu kemudian, kulit isterinya tiba-tiba menggelupas teruk serta gatal di seluruh badan dan terpaksa dihantar ke hospital terbabit Rabu lalu untuk mendapat rawatan lanjut daripada doktor pakar kulit.

“Saya terkejut apabila mendapati kulit di seluruh badan isteri menggelupas dengan keadaan muka kelihatan bengkak sehingga menyukarkannya untuk membuka mata, mulut dan bergerak.

“Apabila berjumpa dengan doktor, ia lebih memeranjatkan setelah diberitahu isteri sudah tersalah makan ubat kerana ubat itu salah diberikan hospital dan meminta supaya menghentikan makan ubat berkenaan,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Chempaka, Panji, dekat sini, semalam.
Dzulkifli yang menghidap penyakit jantung berkata, isterinya tidak pernah mengalami sebarang penyakit kulit sebelum ini dan akibat kejadian itu, terpaksa menanggung penderitaan.

“Saya tidak mahu mengambil tindakan terhadap hospital terbabit, cuma inginkan pihak terbabit supaya merawat penyakit dialami isteri sehingga pulih,” katanya.

Beliau yang berniaga air tebu berkata, akibat penderitaan isterinya itu, beliau terpaksa berhenti berniaga untuk menjaga isterinya yang sentiasa memerlukan penjagaan kerana sukar bergerak.

“Hasil berniaga air tebu, saya memperoleh antara RM200 hingga RM300 sebulan dan kini sumber pendapatan itu sudah tiada kerana terpaksa menjaga isteri selain terpaksa menanggung tujuh daripada sembilan anak.

“Kesusahan dialami ini diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah miskin dengan pendapatan tidak seberapa, kini terpaksa berhenti berniaga dengan keadaan isteri menderita penyakit kulit.

“Saya memohon supaya hospital terbabit dapat memulihkan penyakit isteri dan bantuan orang ramai untuk meringankan penderitaan yang dialami ini,” katanya.
Berita Harian Online | Wanita dakwa sakit kulit angkara ubat hospital

No comments: