KAHERAH - Para penunjuk perasaan menutup laluan masuk ke kompleks pusat pentadbiran di Kaherah, Mugamma el-Tahrir semalam. Tindakan itu menyebabkan para pekerja tidak dapat pergi ke pejabat tersebut sekali gus menyebabkan perkhidmatan pentadbiran terjejas.
Kompleks tersebut menempatkan 14 jabatan dengan lebih 18,000 orang pekerja.
"Para penunjuk perasaan menghalang kami masuk," kata seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal.
Dia hanya dapat berlegar-legar dalam jarak 20 meter dari bangunan tersebut bersama rakan sekerjanya.
Penunjuk perasaan berikrar akan menguasai Dataran Tahrir sehingga Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Khemah para penunjuk perasaan dilihat semakin banyak di Mugamma. Para penunjuk perasaan itu mula berhimpun di dataran berkenaan buat pertama kali pada 25 Januari lalu.
Kompleks Mugamma sudah ditutup selama 14 hari sebelum ini.
Walaupun kehidupan kembali normal di sini selepas pihak berkuasa mengarahkan bank kembali dibuka, sejumlah penunjuk perasaan masih berhimpun di dataran tersebut.
Akhbar Al-Ahram semalam melaporkan bahawa sebahagian kompleks Mugamma telah dibuka buat sementara waktu.
Para pekerja dan orang ramai diminta menggunakan pintu belakang untuk memasuki bangunan Mugamma el-Tahrir.
"Mereka (para penunjuk perasaan) sepatutnya bersurai. Adalah tidak adil untuk menyusahkan urusan orang lain. Saya perlukan dokumen untuk bekerja di Arab Saudi," tegas seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad.
Walaupun Hosni sudah menyatakan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya, penunjuk perasaan dilihat masih tidak mahu berganjak dari dataran berkenaan.
Sementara itu, berpuluh-puluh orang mengelilingi seorang lelaki yang ditangkap bersama satu tin minyak petrol.
Dia didakwa cuma membakar kompleks pentadbiran tersebut.
Lelaki itu diserahkan kepada beberapa anggota tentera yang kemudian membebaskannya. - AFPKosmo! Online - Dunia
No comments:
Post a Comment