Pages

Thursday, February 24, 2011

Penduduk India pula anjur protes



Penunjuk perasaan membawa pinggan sambil mengangkat sepanduk mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga barangan di New Delhi, semalam. - REUTERS


NEW DELHI 23 Feb. - Beratus-ratus ribu ahli kesatuan pernigaaan termasuk yang mempunyai kaitan dengan kerajaan berarak di jalan-jalan raya sekitar bandar raya ini bagi memprotes kenaikan harga makanan.
Demonstrasi itu merupakan gelombang terbaru siri protes di negara ini, yang sebelum ini melanda Asia Barat Timur dan Afrika utara ekoran bantahan terhadap kenaikan harga barang dunia.
India yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar di Asia dengan penduduk berjumlah lebih satu bilion sedang bergelut menghadapi kadar inflasi makanan berganda yang memberi kesan besar kepada ratusan juta rakyat miskin di negara ini.
Pada protes anti-kerajaan yang merupakan antara terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya 50,000 orang mewakili kesatuan perniagaan yang mempunyai hubungan dengan parti politik berarak di tengah-tengah bandar raya ini menuju ke bangunan Parlimen.
Dalam lautan bendera merah dan topi yang tertera nama kesatuan, penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan dan membawa sepanduk antaranya membawa maksud 'harga sekarang membunuh rakyat biasa'. dan meminta kerajaan memberi jaminan agar makanan mencukupi untuk semua golongan rakyat.
"Kami dibayar antara 100 rupee (RM6.74) ke 125 rupee (RM8.43) sehari. Bagaimana kami mampu hidup jika harga makanan terlampau tinggi," kata Kailash Sain yang datang ke sini dari Rajashtan di barat India.
"Kami datang ke sini agar suara kami bergema di dalam Parlimen supaya mereka dapat melihat bagaimana keperitan hidup yang sedang dilalui oleh rakyat," kata Akhil Samamtray yang berasal dari Orissa.
Penunjuk perasaan datang dengan menaiki bas dan kereta api dari seluruh negara dengan jumlahnya dijangka terus meningkat.
Setiausaha Kesatuan Perdagangan parti Kongres, PJ Raju berkata, kira-kira 100,000 ahli kongres tersebut menyertai demonstrasi itu.
Penyertaan ahli kesatuan yang mempunyai kaitan dengan parti Kongres diketuai Perdana Menteri, Manmohan Singh seakan petanda mereka turut gusar dengan polisi kerajaan yang gagal mengatasi masalah inflasi.
Kerajaan dilihat gagal membantu rakyat meskipun telah memperkenalkan polisi untuk mengekang kenaikan harga barang. Para penganalisis menganggap ia sudah terlalu lambat untuk dilaksanakan.
Salah sebuah bank terkemuka, Bank Rizab India telah menaikkan kadar faedah sehingga tujuh kali ganda setahun dalam usaha mengatasi masalah itu.
Namun, dalam masa yang sama mereka turut memberi amaran bahawa polisi fiskal akan menjadi tidak efektif untuk berdepan kenaikan harga barangan yang berpunca daripada cuaca buruk serta beberapa masalah lain dihadapi pembekal.
Protes itu sebenarnya berlaku hanya sehari setelah Manmohan cuba meredakan keadaan ekoran pendedahan pembangkang terhadap skandal penjualan lesen syarikat telekomunikasi yang membabitkan wang sogokan mencecah bilion dolar.
Skandal itu menambah tekanan ke atas Perdana Menteri berusia 78 tahun itu yang dilihat berada di penghujung kariernya. Ada yang beranggapan, pendedahan lanjut mengenai perkara itu mampu memaksanya melepaskan jawatan lebih awal sebelum pilihan raya umum pada 2014. - REUTERS

No comments: