2011/02/24
MUAMMAR Gaddafi berucap menerusi televisyen, kelmarin.
TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin tertekan semalam berikutan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Abdel Fattah Younes al-Abidi yang dianggap nombor dua di Libya.
Al-Abidi mengumumkan langkahnya untuk menyokong penunjuk perasaan ketika laporan menyatakan sehingga 1,000 orang terbunuh sejak bantahan tercetus 17 Februari lalu.Sementara itu, penunjuk perasaan dengan bantuan anggota tentera yang berpaling tadah mendakwa menguasai bahagian timur Libya.
Malah mereka mendakwa selepas seminggu bantahan tercetus Gaddafi kini hanya menguasai wilayah tertentu termasuk sebahagian ibu negara Tripoli dan bandar selatan Sabha.
Menurut perangkaan kerajaan hampir 300 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan dengan ganas menyuraikan penunjuk perasaan. Namun menteri luar Itali Franco Frattini berkata di Rom laporan yang menyatakan kematian mungkin mencecah 1,000 orang boleh dipercayai berikutan serangan udara turut dilancarkan terhadap penunjuk perasaan.
Bekas negara penjajah Libya itu bimbang jika rejim Gaddafi berjaya ditumbangkan, sehingga 300,000 rakyat Libya mungkin akan lari ke Itali.
Selain Al-Abidi, ramai lagi jeneral kanan termasuk Jeneral Mahmud, pegawai pemerintah di Tripoli dan timur Libya berpaling tadah.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) Gaddafi kini hanya mendapat sokongan daripada kelompok kecil yang rapat dengannya tetapi agak jelas beliau tidak akan menyerah kalah tanpa melawan habis-habisan.
Sementara itu, beberapa negara Eropah dilaporkan sudah mula membawa keluar warga masing-masing dari Libya.
Perancis, Turki dan Russia adalah antara negara yang sudah menghantar pesawat masing-masing bagi membawa keluar rakyat mereka yang terperangkap.
Britain pula menghantar kapal perangnya, HMS Cumberland ke pesisir pantai Libya bagi membantu operasi membawa keluar rakyatnya.
Amerika Syarikat, China dan India juga dilaporkan sedang membuat persiapan membawa pulang rakyat masing-masing keluar dari negara bergolak itu. – AP/Agensi
No comments:
Post a Comment