Pages

Thursday, February 24, 2011

Henti usaha cari mangsa


CHRISTCHURCH: Polis semalam menghentikan usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat di dalam sebuah bangunan enam tingkat yang runtuh selepas gempa bumi besar melanda bandar raya ini kelmarin.
Mereka juga berkata, beberapa pelajar asing mungkin antara yang terbunuh dalam bangunan itu.

“Bangunan CTV ini menempatkan beberapa pelajar asing dan saya bersimpati dengan keluarga mereka yang mungkin terbunuh dalam bencana ini,” kata Komander Operasi Polis, Dave Lawry, merujuk kepada bangunan TV Canterbury.
“Ketika ini, kami percaya tidak ada mangsa yang terselamat dalam bangunan ini,” katanya.

Seramai 75 orang terbunuh dan 300 hilang apabila gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda bandar kedua terbesar New Zealand itu, yang kedua dalam masa beberapa bulan. Menurut Lawry, keadaan bangunan itu yang menempatkan Sekolah Bahasa Inggeris Kolej Pendidikan King di tingkat tiga semakin teruk dan bimbang ia akan runtuh lagi, sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

“Saya tidak akan membahayakan kakitangan saya untuk mereka yang saya percaya sudah tidak mempunyai peluang untuk selamat lagi,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, anggota penyelamat kini memindahkan peralatan mereka dari bangunan itu ke kawasan yang mempunyai lebih banyak peluang untuk mencari mangsa yang terselamat.

Media New Zealand sebelum ini melaporkan, 24 orang diselamatkan daripada runtuhan bangunan CTV itu. Tujuh mayat ditemui dan sekurang-kurangnya 22 orang disenaraikan hilang.
Lawry tidak memberi butir lanjut mengenai kerakyatan mereka yang terperangkap dalam bangunan itu tetapi sekurang-kurangnya 10 pelajar Jepun berada di bangunan itu dan mereka dikhuatiri terbunuh. - AFPmyMetro

No comments: