Pages

Sunday, January 2, 2011

Permulaan 2011 tidak ceria

Foto
AKTIVIS Palestin dan tempatan lari apabila askar Yahudi melepaskan gas pemedih mata di Bilin, Tebing Barat, selepas mereka memprotes tembok keselamatan Israel.


Percikan mercun, serangan bom, keganasan militan, banjir antara penyebab

MANILA: Sambutan Tahun Baru 2011 tercemar selepas beberapa kejadian tidak diingini berlaku yang mengorbankan dan mencederakan beratus-ratus orang di seluruh dunia.
Di ibu kota Filipina, dua orang terbunuh dan 546 orang cedera terkena percikan mercun dan tembakan senjata api ketika penduduk tempatan menyambut kedatangan Tahun Baru.
Pegawai berkata, angka mangsa itu adalah lebih tinggi dibandingkan ketika sambutan 2010. Ramai penduduk Filipina percaya dengan tradisi masyarakat Cina bahawa sambutan hiruk pikuk menggunakan mercun dapat menghalau hantu dan nasib malang tetapi kenyataannya berbeza.

Di NARATHIWAT, dua anggota polis dari skuad pemusnah bom Thailand terbunuh manakala sembilan yang lain cedera dalam satu letupan di selatan Thailand selepas pasukan keselamatan memberi amaran mengenai keganasan yang mungkin berlaku menjelang Tahun Baru.

Pegawai polis berkata letupan bom terbabit, yang kedua dalam tempoh empat hari, berlaku di depan sebuah gerai, membunuh pegawai polis 50 tahun di tempat kejadian. Seorang lagi anggota polis meninggal sejurus tiba di hospital akibat terkena serpihan bom.

Di PESHAWAR, serangan berasingan dua peluru berpandu Amerika membunuh 14 orang dekat sempadan Afghanistan di timur laut Pakistan. 
Dalam serangan pertama, 9 orang maut dan lima lagi terbunuh selepas orang ramai kena serangan ketika cuba membawa mayat mangsa serangan.

Di RAMALLAH, seorang wanita Palestin, Jawaher Abu Rahma, 36, maut selepas tersedut gas pemedih mata yang dilepaskan askar Israel ketika menyertai bantahan terhadap pembinaan tembok keselamatan Yahudi di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, ia menggunakan kaedah menyuraikan penunjuk perasaan bagi menamatkan protes 250 orang di perkampungan Bilin. Gambar kejadian menunjukkan asap gas pemedih mata menyelubungi penunjuk perasaan.

Di ISKANDARIAH, seramai 21 orang terbunuh selepas sebutir bom meletup di depan gereja Kristian Koptik ketika penganut agama itu keluar dari bangunan berkenaan.
Serangan itu berlaku selepas militan al-Qaeda beberapa kali mengancam menyerang penduduk Kristian Mesir.

Di KAHERAH, banjir disebabkan hujan lebat menghanyutkan sebuah bas dipenuhi 77 pelajar sekolah perempuan dan guru mereka yang melalui lebuh raya di selatan negara itu, menyebabkan kematian 15 orang, kebanyakannya pelajar.

Di ABUJA, empat orang maut dan 26 lagi cedera dalam serangan bom di sebuah pasar yang terletak di pinggir berek tentera di ibu kota Nigeria.

“Hingga ini, empat orang terbunuh termasuk seorang wanita hamil manakala 26 lagi cedera, 11 daripada mereka tenat,” kata Menteri Pertahanan, Adetokunbo Kayode. – Agensi 

No comments: