NEW DELHI: Satu 'hadiah besar' kebajikan daripada seorang hartawan pengasas sebuah syarikat teknologi tinggi baru-baru ini bak menyorot rekod kurang menarik 'sifat dermawan' di kalangan para hartawan terkenal dan sedang meningkat naik namanya di India.
Encik Azim Premji, yang mengubah haluan firma minyak masak milik keluarganya menjadi sebuah syarikat perisian raksasa, Wipro Ltd, awal bulan lalu mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan AS$2 bilion ($2.6 bilion) kepada sebuah dana membangunkan pendidikan daerah luar bandar.Dianggarkan 100 tokoh hartawan terkaya di India mempunyai nilai bersih harta (net worth) bersamaan dengan 25 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) India, dan sumbangan derma Encik Premji - paling besar pernah dibuat oleh seseorang individu sejauh ini - dilihat sebagai satu cabaran kepada mereka yang tergolong dalam 'kelab orang-orang paling kaya' di negara itu.Sedang sumbangan derma yang diberikan oleh golongan kaya agak meluas di negara-negara seperti Amerika Syarikat, ia kurang dilihat dalam negara-negara ekonomi sedang berkembang seperti India dan China.Encik Arpan Sheth, penulis laporan mengenai gambaran keseluruhan sifat dermawan di India yang diterbitkan oleh sebuah firma perunding Bain, berkata potensi mewujudkan sifat dermawan dalam negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi kedua terpantas di dunia adalah besar.'Haruskah para individu (di India) khususnya yang kaya raya, menyumbang lebih banyak lagi? Dan, mampukah mereka memberikan derma dengan lebih banyak dan besar? Jawapan kepada kedua-dua soalan itu adalah 'sudah semestinya ya',' kata Encik Sheth.Ekonomi India yang sedang berkembang - dijangka tumbuh 8.5 peratus tahun lalu - telah menghasilkan 17 hartawan baru pada 2010, menambahkan jumlah hartawan di negara itu kepada 69 orang kesemuanya, menurut majalah Forbes.Dua warga India, Encik Lakshmi Mittal dan Encik Mukesh Ambani, kini berada dalam senarai lima individu paling kaya di dunia oleh Forbes.Namun, sikap suka menderma gagal berkembang sejajar dengan trend penjanaan tokoh-tokoh hartawan itu, sebahagiannya kerana pengumpulan kekayaan yang pesat di kalangan individu itu masih lagi satu fenomena yang agak baru, menurut Encik Sheth.'Kami mempunyai sejarah kekurangan (sumber), jadi agak memakan masa untuk membina keyakinan bahawa masa depan akan lebih baik lagi secara lebih kekal dan perlunya menyalurkan kekayaan yang baru diperolehi itu,' jelas beliau kepada agensi berita AFP baru-baru ini.Bapa Encik Ambani berasal daripada keluarga susah sebelum beliau menjadi seorang hartawan.Beliau bermula sebagai sebuah pedagang tekstil kecil-kecilan sebelum mengasaskan dan membina perniagaannya dalam Reliance Industries - kini firma sektor swasta paling besar di India.Terdapat juga keraguan bahawa rangkaian kebajikan di India tidak diuruskan dengan profesional.Oleh itu, para penderma khuatir sumbangan mereka 'tidak disalurkan kepada penggunaan yang baik atau menghadapi risiko digelapkan', kata Encik Sheth.Laporan Bain itu menegaskan bahawa satu kebudayaan dermawan biasanya mengambil masa 50 hingga 100 tahun untuk timbul dan Encik Sheth menekankan bahawa sifat dermawan di India masih belum mencapai prestij sosial yang sama seperti di negara maju lain.'Sebaliknya, ramai orang kaya baru melihat bertambahnya kekayaan kebendaan mereka itu sebagai kunci untuk meningkatkan status sosial mereka,' kata beliau.Mempamerkan kekayaan seseorang secara terbuka sering dikagumi daripada dikritik di India, golongan kaya biasanya membelanjakan ribuan dolar - ada kalanya jutaan - bagi majlis perkahwinan yang besar-besaran.Pembinaan rumah 27 tingkat bernilai berbilion dolar yang dimiliki Encik Mukesh Ambani di Mumbai sedang 60 peratus daripada 18 juta penduduknya tinggal di kawasan setinggan yang sesak dan kotor, 'membeliakkan mata' sesetengah orang tetapi tidak ramai pula yang terlalu marah terhadap hal itu.Encik Premji pula, yang terkenal dengan gaya hidupnya yang berjimat cermat, berkata tabiat berbelanja dengan cara menonjol adalah sesuatu yang lazim di negara-negara yang dalam proses meningkatkan kekayaannya.'Anda melihatnya di China, Indonesia, Singapura, Thailand. Buat beberapa tahun pertama, orang mahu menunjukkan dengan jelas bahawa mereka amat kaya,' kata beliau kepada AFP.Di India, para individu dan syarikat membentuk hanya 10 peratus daripada usaha pembiayaan kebajikan, berbanding dengan 75 peratus di Amerika.'Profil kami lebih mirip kepada China, yang mana sumbangan oleh pihak pemerintah jauh melebihi derma oleh para individu,' kata Encik Sheth.Secara tradisional, para penderma seperti konglomerat terkenal di India, Tata Group, telah menumpukan usahanya ke arah memperbaiki kebajikan para pekerja dengan menawarkan khidmat penjagaan kesihatan dan perumahan.Syarikat-syarikat perniagaan besar India lain juga menyumbangkan wang bagi pembinaan kuil Hindu dan keperluan keagamaan lain, manakala individu-individu mewah turut membantu kampung keluarga mereka dengan membina sekolah dan telaga.Namun, menurut seorang penderma dan bekas banker pelaburan di New York, Encik Deval Sanghavi, ada tanda-tanda para penderma sedang meluaskan kegiatan mereka itu dengan melihat ke arah masalah pendidikan, kesihatan dan sebagainya di India pada peringkat lebih makro.'Mulanya, orang berfikir perlu membantu mereka yang terdekat dalam keluarga atau kampungnya, tetapi kini mereka sedar bahawa bantuan harus diberikan pada skala lebih meluas,' jelas Encik Sanghavi.Para individu kaya kini 'lebih terlibat dalam kebajikan dan mahu mengubah negara ini', tambahnya.
No comments:
Post a Comment