Golongan munafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.
Firman Allah yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - (Surah al-Munafiqun, ayat 1)
Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu.
Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - (Surah Ali-Imran, ayat 167)
Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan. Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja.
Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - (Surah al-Baqarah, ayat 8)
Hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.
Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - (Surah an-Nisa’, ayat 145)
Keadaan kedua disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - (Hadis riwayat Bukhari)
Jelas kepada kita ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.
Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak tetapi dengan mengamalkannya sudah cukup untuk melayakkan diri menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.
Sebagai Muslim yang berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba sentiasa mendapat keredaan Allah, tidak boleh tidak, semua sifat dan perbuatan yang melambangkan perihal orang munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.
Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Bermuhasabah juga, membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri.
Kadang-kadang kita tidak sedar perbuatan itu melampaui batas ditetapkan agama. Muhasabah diri menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan setiap amalan tidak terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya: “Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”
Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.
Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu dapat membantu kita daripada terus hanyut di bawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.
Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Agama itu nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)
Allah juga mengingatkan pentingnya sentiasa memberi peringatan yang sememangnya akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - (Surah az-Dzariyat, ayat 55)
Marilah sama-sama berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah satu perlakuan biasa tanpa ada rasa bersalah dan takutkan azab yang sentiasa menunggu bagi mereka yang tidak menyesali segala perbuatan jahat dilakukan.
Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat golongan munafik itu. Sesuai sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh Mohd Shahrizal Nasir
Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia
No comments:
Post a Comment