Pages

Wednesday, January 5, 2011

Konvoi Asia 1 tiba di Gaza


ANGGOTA-ANGGOTA Konvoi Bantuan Asia 1 menyertai tunjuk perasaan mendesak pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel di Gaza City, Palestin, kelmarin. - BERNAMA


GAZA 4 Jan. - Selepas belayar selama sebulan, kapal bantuan kemanusiaan Asia 1 tiba di Gaza semalam dalam cubaan mencabar sekatan Israel terhadap Palestin.
Konvoi tersebut terdiri daripada 112 anggota dari Malaysia, Indonesia, India, Pakistan. Jepun, Kuwait dan New Zealand.
Mereka memasuki Gaza melalui sempadan Rafah selepas flotila mereka berlabuh di Pelabuhan Al-Aresh, Mesir.
Para pegawai dan rakyat Palestin berkumpul di sempadan Rafah bagi menyambut konvoi berkenaan yang memulakan perjalanannya dari India pada 2 Disember ke Syria dan akhirnya belayar ke Mesir.
Konvoi tersebut berjaya membawa 1,000 tan bekalan makanan, bekalan perubatan dan alat permainan kanak-kanak.
Ketika melawat Gaza, kumpulan tersebut mengunjungi ibu pejabat Parlimen Palestin yang dimusnahkan ketika perang.
Di ibu pejabat Palang Merah Antarabangsa, aktivis Asia itu mengikuti satu demonstrasi bantahan bersama keluarga penduduk Gaza yang dipenjara dan meminta tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel.
Mereka melaungkan slogan dan memegang kad-kad yang antaranya tertera 'Mereka yang menafikan kebebasan kepada orang lain juga tidak patut menerimanya'.
Dalam pada itu, ketua jawatankuasa dalam memecahkan sekatan berkenaan Palestin, Ahmed Youssef menyambut anggota konvoi dan melahirkan penghargaan di atas bantuan kemanusian itu.
"Kami menghargai usaha anda dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan anda,'' katanya.
Fayrouz Mesbrola dari India yang mengetuai konvoi Asia 1 pada sidang media berkata, misi itu bertujuan menamatkan sekatan tidak berperikemanusiaan itu di Gaza. - Bernama

No comments: