Pages

Wednesday, December 8, 2010

Suami didakwa rancang bunuh isteri



ZOLA TONGO menutup wajahnya semasa dia dihadapkan ke sebuah mahkamah di Cape Town, Afrika Selatan semalam.


CAPE TOWN - Seorang ahli perniagaan Britain, Shrien Dewani, 30, merancang komplot untuk membunuh isterinya, Anni Dewani, 28, ketika mereka berbulan madu di Afrika Selatan, menurut beberapa keterangan di sebuah mahkamah semalam.
Tuduhan itu dibuat pendakwa raya, Rodney de Kock bahawa Shrien membayar dua pembunuh upahan sebanyak £1,400 (RM6,958) untuk membunuh isterinya selepas dua minggu mereka berkahwin.
"Mangsa dibunuh atas arahan suaminya," kata De Kock.
Menurutnya, ahli perniagaan itu mengupah pemandu teksinya, Zola Tongo supaya mengaturkan kedua-dua pembunuh upahan itu untuk menyerang teksi mereka ketika ia melalui bandar raya di sini pada 13 November lalu.
Kelmarin, Tongo dihukum penjara 18 tahun kerana terbabit dalam pembunuhan wanita Britain itu manakala dua lelaki yang dituduh membunuh Anni akan dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari depan.
Pihak pendakwa raya mendakwa Shrien membuat perancangan supaya dia dan pemandu teksi itu tidak dicederakan.
Dalam rancangan itu, isterinya perlu kelihatan mati dalam satu kes rompakan.
Mayat mangsa ditemui di satu kawasan di bandar raya itu.
Maklumat tersebut diperoleh daripada ketiga-ketiga lelaki terbabit sebagai persetujuan dengan pihak pendakwa raya supaya pertuduhan lebih ringan dikenakan ke atas mereka. - Agensi

No comments: