Pages

Wednesday, December 8, 2010

Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor


Tengku Sulaiman Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor kepada Haron Din pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, malam semalam.


SHAH ALAM 7 Dis. - Tokoh agama, Datuk Dr. Haron Din diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor dalam satu majlis di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.
Haron, 70, dianugerahkan gelaran itu ekoran sumbangan serta peranan aktifnya membangunkan Islam di negeri ini.
Bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu banyak memainkan peranan dalam bidang berkenaan termasuk menghasilkan buku-buku keagamaan dalam bidang akidah serta tasawur Islam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, Haron turut aktif dalam membentangkan kertas kerja di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta selain persidangan di dalam dan luar negara.
"Beliau sangat aktif dalam aktiviti persatuan, politik dan bukan politik serta program di peringkat antarabangsa dengan menjadi ahli jawatankuasa di peringkat tertinggi.
"Beliau juga banyak menyumbangkan idea-idea yang bernas khususnya untuk negeri Selangor dan Malaysia amnya," katanya ketika mengumumkan penerima anugerah sempena sambutan Maal Hijrah di sini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil Sultan Selangor, Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah.
Sementara itu, Shah Kirit Kakulal Govindji, 44, menerima anugerah bagi kategori Tokoh Saudara Kita hasil penglibatan aktifnya dalam aktiviti dakwah di dalam dan luar negara.
Ahli seumur hidup Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu turut aktif dalam perdebatan dan dialog di seluruh dunia mengenai perbandingan agama selain banyak memberikan khidmat kaunseling kepada remaja, golongan murtad dan mualaf.
Turut menerima anugerah ialah pasangan Panut Markom dan Jaliah Simim bagi kategori Tokoh Keluarga Mithali kerana berjaya mendidik lima orang anak mereka mendalami ilmu agama khususnya bidang al-Quran.
Bekas pensyarah Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Noorazman Mohd. Samsuddin pula dianugerahkan Tokoh Aktivis Masyarakat berikutan penglibatanya dalam pelbagai aktiviti komuniti di dalam dan luar negara.
Beliau juga mengetuai banyak misi kemanusiaan antaranya ketika bencana tsunami di Aceh pada 2004, gempa bumi di Pakistan (2005), Yogyakarta (2006), kem pelarian Palestin di Syria dan Palestin (2009).
Noorazman turut memainkan peranan aktif dalam misi bantuan banjir di Pahang dan Johor, masing-masing pada 2007 dan 2008 serta pernah terlibat dalam konvoi Life Line for Gaza (LL4G).
Kesemua penerima anugerah menerima trofi dan sijil penghargaan.

No comments: