Pages

Wednesday, December 22, 2010

Saintis cipta tikus boleh berkicau seperti burung



SEEKOR tikus yang boleh berkicau seperti burung didedahkan kepada pemberita di Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun semalam.


TOKYO - Saintis-saintis Jepun mengumumkan semalam mereka berjaya mencipta tikus yang boleh berkicau seperti burung dalam evolusi kejuruteraan genetik yang diharap dapat membantu merungkai asal usul bahasa manusia suatu hari nanti.
Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka menghasilkan haiwan tersebut menerusi kajian yang dinamakan 'Projek Evolusi Tikus' yang mana mereka menggunakan tikus modifikasi genetik yang cenderung bermutasi.
"Mutasi adalah pencetus evolusi. Kami telah membuat kacukan ke atas tikus modifikasi genetik selama beberapa generasi untuk melihat apa yang akan berlaku," kata ketua penyelidik berkenaan, Arikuni Uchimura.
"Kami memeriksa setiap anak tikus yang baru lahir dan pada suatu hari, kami mendapati seekor anak tikus tersebut boleh berkicau seperti burung," katanya.
Menurutnya, kelahiran tikus berkicau itu berlaku kerana hukum alam tetapi ciri-ciri berkenaan akan diwarisi oleh generasi akan datang.
Makmal tempat penyelidikan itu dibuat dikendalikan oleh Profesor Takeshi Yagi dari Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun yang kini memiliki lebih 100 tikus berkicau untuk kajian lanjut.
Pasukan saintis itu berharap penemuan tersebut dapat memberi petunjuk berhubung bagaimana evolusi bahasa manusia berlaku.
Sebelum ini, saintis-saintis mendapati burung-burung yang berkicau menggunakan bunyi berbeza-beza dan menyusunnya seperti perkataan dalam bahasa manusia serta mempunyai tatabahasa tersendiri. - AFP
- kosmo

No comments: