Pages

Thursday, November 4, 2010

Ombak tsunami elak masjid



Laporan dari Kepulauan Mentawai oleh Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/04

 MASJID Kampung Pasapuat, Pagai Utara, Sumatera Barat tidak terjejas dilanda tsunami, Isnin lalu.
MASJID Kampung Pasapuat, Pagai Utara, Sumatera Barat tidak terjejas dilanda tsunami, Isnin lalu.
Struktur bangunan 30 tahun jadi tempat perlindungan 

SEBUAH masjid berusia kira-kira 30 tahun di Kampung Pasapuat, Pagai Utara, Sumatera Barat masih tetap utuh walaupun beberapa kawasan perumahan sekelilingnya hancur dilanda badai tsunami, Isnin lalu.
Kesan ombak besar dapat dilihat di keliling pagar kayu Masjid Mujahidin itu dan pokok kelapa sekitarnya berdasarkan baju serta kain yang tersangkut pada ketinggian 13 meter.
Lebih pelik, apabila pagar kayu masjid berketinggian satu meter dan 80 peratus siap itu langsung tidak terjejas sekali gus membolehkan tiga keluarga yang melarikan diri di tempat ibadat itu bagi mengelak menjadi mangsa tsunami, terselamat. 

Kejadian tsunami itu menyebabkan 11 rumah dan dua jambatan yang mengelilingi masjid musnah, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. 

Selama seminggu, penduduk kampung terputus hubungan dengan masyarakat luar kerana angin kencang dan tiada pengangkutan. Mereka tidak dapat menyeberang lautan untuk meminta bantuan ke kampung seberang di Saumanganya menyebabkan hampir keseluruhan penduduk hanya menjamah kelapa untuk mengalas perut. 

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana kesengsaraan mereka berakhir apabila beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam tiba bersama bekalan makanan selepas mengharungi perjalanan menaiki bot penumpang selama dua jam, semalam. 
Bagi NGO Islam yang menggunakan jalan darat untuk mengangkut beras dan gula, mereka terpaksa mengharungi perjalanan selama tujuh jam menunggang motosikal. 

Pengarah Bantuan Kemanusiaan Global Peace Mis-sion Malaysia(GPMM), Azlan Muhammad Sharif, berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi membeli keperluan asas sebelum disumbangkan kepada penduduk kampung itu antaranya beras, gula, tepung, minyak masak. 

“Walaupun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan di perkampungan Islam itu, kita perlu menyelami nasib mereka selain memikirkan masa depan anak penduduk kampung terutama membabitkan pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas menghantar bekalan makanan di sini, semalam.

No comments: