Pages

Thursday, November 4, 2010

Banjir di Thailand mulai surut




GAMBAR menunjukkan banjir melanda daerah Hat Yai di selatan Thailand semalam.


BANGKOK - Banjir besar yang melanda bahagian selatan Thailand mulai surut sejak petang semalam namun pasukan penyelamat terus menghantar bantuan ke kawasan yang paras airnya telah mencecah bumbung rumah.
Lapan wilayah di selatan Thailand terjejas akibat banjir itu.
Kemusnahan paling ketara berlaku di bandar Hat Yai yang menyaksikan sistem jalan rayanya tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
Bekalan elektrik dan komunikasi terputus di beberapa kawasan manakala laluan kereta api ke kawasan itu turut dibatalkan.
Menurut seorang pegawai pengairan wilayah Songkhla, Danaivit Saibandith, banjir sudah semakin surut dan hanya sepuluh peratus bandar itu yang masih ditenggelami air.
Paras air tertinggi pada petang semalam ialah sekitar 30 sentimeter surut berbanding setinggi tiga meter dua hari sebelumnya.
Hujan berterusan pada Ahad dan Isnin lalu juga menyebabkan sebuah lapangan terbang di Pulau Samui ditutup semalam.
Namun, sebuah lapangan kecil dibuka semula yang membolehkan syarikat penerbangan Thai Airways dan Bangkok Airways kembali beroperasi.
Jabatan Meteorologi Thailand menyatakan, ribut kini bergerak ke arah barat dan mula meninggalkan Thailand. Bagaimanapun, ia memberi amaran tentang kewujudan ombak setinggi empat meter di beberapa kawasan pantai selain kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang mungkin berlaku di kawasan rendah.
"Saya yakin keadaan kembali pulih, walaupun terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dilalui," kata Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva ketika ditanya mengenai laporan bahawa dianggarkan seramai 100,000 orang terperangkap akibat banjir di Hat Yai.
Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwan memberitahu ribuan askar dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat.
Banjir di Thailand telah meragut 107 nyawa dan menjejaskan kehidupan hampir enam juta penduduk di 38 buah wilayah di Thailand. - AP

No comments: