Pages

Tuesday, November 16, 2010

ANGKARA TIDAK KAWAL MULUT

JAM PALING TINGGI DI DUNIA: Tidak seperti zaman dahulu, Masjidil Haram hari ini dikelilingi semakin banyak bangunan pencakar langit, termasuk menara dengan jam besar yang tertinggi di dunia. - Foto REUTERS



Banyak kejadian berlaku secara tiba-tiba di depan mata


MUSIM haji tiba lagi. Seperti tahun-tahun yang lalu, setiap kali bulan Zulhijah menjelma, setiap itu jugalah beraneka peristiwa yang saya dialami semasa mengerjakan ibadah haji pada 2001 dan 2004 menjelma kembali dalam ingatan.
Ada yang menggembirakan, ada yang menginsafkan, ada yang mengharukan, ada yang lucu dan ada juga yang aneh-aneh atau pelik-pelik belaka.Saya rasa, bukan saya seorang yang menempuh pengalaman-pengalaman sedemikian. Kebanyakan jemaah yang pergi ke Tanah Suci  pasti  ada melaluinya atau mendengar pengalaman-pengalaman sedemikian dari rakan-rakan jemaah yang lain, terutama peristiwa-peristiwa yang aneh atau pelik.Satu perkara yang saya pelajari daripada peristiwa-peristiwa itu ialah jaga mulut dan jaga tabiat ketika berada di Tanah Suci.Bagi jemaah yang terlepas cakap dan suka bertakbur, biasanya balasan akan dikenakan selang beberapa minit sahaja dan  di situ juga, kecuali dia segera sedar lalu beristighfar dan memohon ampun kepada Allah swt.Tujuan kita berada di Tanah Suci Makkah adalah untuk mengerjakan ibadah. Oleh itu, seeloknya kita kurang bercakap ketika berada di sana. Lagipun, sudah beribu-ribu hari dan berjuta-juta jam kita bercakap semasa di Singapura. Apa salahnya kita kurang bercakap ketika berada di Makkah dan di Madinah.Sebaliknya, kita jaga solat, banyakkan berselawat, bersyukur, bertasbih dan bertahmid sepanjang masa. Inilah yang saya amalkan ketika mengerjakan ibadah haji pada 2004: kurang bercakap dan sedaya upaya mencuba tidak memberi komen terhadap apa sahaja yang saya rasa tidak kena. Ini kerana pada haji 2001, saya pernah lihat ada jemaah dalam kumpulan kami yang sesat jalan sepulang dari solat di Masjidil Haram, ada yang tidak semena-mena diherdik oleh pengurup wang atau oleh pekedai ataupun oleh orang yang tidak dikenalinya.Ada yang dibenci oleh setiap pekedai di kedai yang disinggahnya.Ada jemaah yang dikejar dan hendak dipukul oleh jemaah lain yang tidak dikenali ketika melakukan tawaf.Ada jemaah yang mulanya tidak suka air zamzam, tetapi kemudian setiap malam selepas tawaf sunat membawa pulang ke bilik hotel satu demi satu bekas berisi air zamzam sehingga semuanya terkumpul menjadi 14 bekas besar berisi air zamzam yang hendak dibawanya pulang ke Singapura.Ada jemaah yang tiba-tiba jatuh sakit dan ada pula pasangan suami isteri yang bergaduh sepanjang masa. Pengalaman yang paling meninggalkan kesan pada diri saya berlaku pada musim haji 2001.Pada suatu pagi selepas solat subuh di bumbung Masjidil Haram, saya turun melalui tangga kerana tangga bergerak terlalu padat dengan jemaah-jemaah lain yang berebut-rebut hendak turun keluar.Setiba di tangga tingkat dua masjid, begitu ramai jemaah dari Indonesia sedang melepak di situ sehingga menghadang dan menyendatkan laluan jemaah-jemaah lain yang sedang turun. Entah macam mana, mulut celupar ini bertindak lebih pantas berbanding akal fikiran. Lalu saya memarahi jemaah-jemaah Indonesia itu kerana duduk melepak beramai-ramai di landasan tangga di tingkat dua tadi sehingga menghadang serta menyempitkan laluan. Pendekkan cerita, akhirnya saya berhasil lolos dari laluan tangga yang sempit itu dan beberapa saat kemudian sudah berada di luar masjid. Setiba di tempat penginapan saya di hotel White Palace yang terletak di depan Masjidil Haram, saya tahu bahawa pagi-pagi begitu sarapan belum disediakan. Tetapi saya turun juga ke ruang makan di besmen hotel itu untuk mengambil secangkir kopi dan membawanya ke bilik saya.Ketika menuruni tangga hotel itu untuk ke besmen, entah bagaimana saya tersalah langkah dan jatuh tergolek-golek dari anak tangga atas sampai ke anak tangga paling bawah. Bukan sahaja jam tangan saya yang saya sayangi habis ranap dek terhantuk kuat ke dinding tangga, malah lengan dan siku kiri saya berdarah akibat terluka. Apakah itu satu pembalasan ke atas saya akibat memarahi jemaah-jemaah yang berlepak di tangga Masjidil Haram awal sebelum itu? Saya serahkan kepada pembaca untuk menjawabnya sendiri. Biasanya, selepas solat subuh dan kemudian bersarapan, sesetengah jemaah akan kembali ke bilik masing-masing dan menyambung tidur.Tetapi saya lain sedikit. Saya gemar mengambil angin dulu di kaki lima luar bangunan hotel selepas bersarapan. Pada suatu pagi, ketika menyaksikan kesibukan lalulintas di sebelah kanan bangunan hotel itu bersama seorang teman sebilik, saya tiba-tiba bersuara kepadanya. 'Hebat ya?  Pemandu-pemandu kenderaan di sini cekap betul. Tak pernah ada pelanggaran!'Tidak sampai seminit kemudian, berdentam! Di depan kami sebuah kereta besar jenis Dodge berlanggar dengan sebuah kereta besar Toyota. Adakah ini kerana mulut?Selang beberapa hari kemudian, saya berada di kaki lima sebelah kiri bangunan hotel White Palace pula selepas sarapan, bersama teman sebilik yang sama.Ketika berbual-bual dengannya,  saya berkata: 'Haji tengoklah sekitar kawasan ini, hanya manusia, kenderaan dan burung merpati. Tak pernah ada binatang.'Tup, tup... beberapa saat kemudian tiba-tiba seorang lelaki Arab separuh umur berjalan perlahan-lahan di depan kami dengan seekor keldai.Adakah ini juga kerana mulut? Atau sekadar kebetulan? Demikianlah sebahagian daripada pengalaman saya ketika mengerjakan haji di Makkah Mukkaramah.Semoga ia serba sedikit dapat memberi manfaat dan iktibar, dan semoga bakal-bakal haji atau umrah berjaya merapatkan diri kepada Allah dengan kurang bercakap dan menjaga tabiat.

No comments: