Pages

Tuesday, November 9, 2010

Aku beramal kerana aku tidak tahu


Ada orang bertanya, perkara berkaitan qada’ dan qadar.
Katanya, ALLAH telah menetapkan segala sesuatu semenjak azali lagi.
Telah ditetapkan sama ada orang itu kafir atau tidak.
Sudah ditetapkan akhirnya manusia itu di syurga atau di neraka.

Jadi, kalau sudah ditetapkan di mana tempat pengakhiran, apa gunanya kita beramal?
Kalau anda disuakan persoalan ini, apakah jawapan anda?
Semasa menjalani bab Beriman kepada Qada’ dan Qadar dalam pembelajaran Madkhal Ila Aqidah di University of Yarmouk,
pensyarah yang mengajar mata pelajaran ini, Dr Samirah Tohir telah disoal dengan soalan yang sama.
Dia senyap, memberikan ruang pelajar-pelajar lain memberikan pandangan mereka.
Ramai yang cuba menjawab dengan teori dan akal fikiran masing-masing.
Tidak kurang juga yang cuba membangkitkan perbahasan ulama’ berkenaan tajuk Qada’ dan qadar ini.

Apabila semua pelajar sudah menyuarakan pendapat masing-masing,
Dr Samirah Tohir mengambil marker pen, dan bergerak ke papan putih,
seterusnya menulis kalimah arab yang bermaksud:
“ Aku beramal kerana aku tidak mengetahui”
Ya. Kita beramal, kerana kita sebenarnya tidak tahu di mana ALLAH tetapkan kita.
Di neraka kah? Di syurga kah? Kita ini mati dalam keadaan kufurkah?
Kita ini mati di dalam imankah? Kita ini hidup dalam kemiskinan kah?

Kita ini hidup di dalam kekayaan kah? Kita tidak tahu apa-apa berkenaan penghujung hidup kita.
Jangan kata penghujung hidup, sesaat pada hari esok pun kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kita.
Jadi, kita berusaha, memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita.
Kita sendiri tidak tahu, bagaimana penetapan ALLAH itu, hal qada’ qadar ALLAH ini tersimpan
kemas dari pengetahuan sesiapa, hatta para malaikat sendiri pun tidak mengetahuinya.
Tersimpan kemas di dalam ilmu ALLAH sahaja. Dan tiadalah kita ini dikurniakan ALLAH ilmu, melainkan sedikit sahaja.

Kita tidak tahu banyak perkara, tambahan, perkara-perkara ghaib seperti penetapan qada’ qadar ALLAH SWT ini.
Kenapa mesti kita risau dengan perkara yang memang kita tidak akan dapat mengetahuinya?
Bukankah lebih baik kita jalani kehidupan kita dengan baik dan melorongkan kehidupan kita ke arah apa yang ALLAH redha?
Berbanding risau kita ini sudah ditetapkan mati dalam beriman atau tidak, dimasukkan ke dalam syurga atau tidak,
bukankah lebih baik kita mencari apa yang ALLAH redha dan tidak, seterusnya menghidupkan kehidupan kita dengan kehidupan yang terbaik di bawah redhaNya?
Tambahan, banyak dalil ALLAH SWT menyatakan bahawa iman atau kufur itu adalah pilihan manusia sendiri.

“ Tiada paksaan di dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara yang benar dan jalan yang sesat. Barangsiapa yang mengingkari taghut(kejahatan) dan beriman kepada ALLAH, maka sungguh, dia telah berpegang teguh dengan tali yang sangat kuat dan tidak putus. Dan ALLAH itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”
 Surah Al-Baqarah ayat 256.

“ Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka”
Surah Ar-Ra’d ayat 11.

“ Maha Suci ALLAH yang menguasi segala kerajaan, dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yanng Menciptakan Mati dan Hidup untuk menguji siapa antara kamu yang terbaik amalannya, dan DIAlah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Surah Al-Mulk ayat 1-2. 

“ Apakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan berkata ‘ kami beriman’ sedangkan mereka masih belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Lihat. Hidup kita ini ada pilihannya.
ALLAH memang mengetahui apa pengakhiran kita. Tetapi apakah sama pengetahuan ALLAH dengan pengetahuan kita?
Di tangan ALLAH jugalah segala keputusanNya. Kita hanya berusaha, bergerak mencari redhaNya.
Jadi jangan kita risau apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
Masa hadapan yang kita tidak jelas dengannya. Masa hadapan yang kita tiada ilmu mengenainya.
Maka, risaulah dengan apa yang tersedia di hadapan kita masa ini, kehidupan yang sedang berjalan untuk kita isi,
dan perintah-perintah ALLAH untuk kita laksanakan tanda ketaatan kepada ILAHI.
InsyaALLAH, ALLAH tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Yang beramal soleh dijanjikan kebaikan. Yang beramal kejahatan dijanjikan pembalasan atas keburukan.

“ Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung”
Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Dan ALLAH itu tidak memungkiri janjiNya.
Syukur kepada ALLAH yang menggerakkan hambaNya bernama Samirah Tohir itu mengungkap kalimah
sedemikian besar maknanya kepada saya. Ya, kita beramal, kerana kita tidak tahu berkenaan pengakhiran kita.
Kita tidak tahu bagaimanakah ALLAH menetapkan kehidupan kita.

Maka, kehidupan yang sedang berjalan inilah kita isi dengan kebaikan-kebaikan,
usaha-usaha untuk masa hadapan yang kita suka.
Dengan sangka baik kepada ALLAH, insyaALLAH kita akan mendapat kebaikan.
Semoga perkongsian ini, memberikan manfaat yang besar kepada kita semua.

No comments: