Pages

Tuesday, November 9, 2010

Warga tua parah ditetak jiran




2010/11/09

KECEDERAAN yang dialami Mohamad Salleh selepas ditetak jiran sekampung dalam kejadian di Tumpat, semalam.
KECEDERAAN yang dialami Mohamad Salleh selepas ditetak jiran sekampung dalam kejadian di Tumpat, semalam.
TUMPAT: Seorang warga tua terpaksa memandu dalam keadaan berlumuran darah sejauh 600 meter bagi mendapatkan bantuan keluarganya, selepas ditoreh 15 kali oleh jiran sekampung yang berang ditegur menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik. 

Dalam kejadian jam 10.30 malam di Kampung Bahagia dekat Chabang Empat di sini, Mohamad Salleh, cedera di kepala, badan dan lengan akibat diserang dengan senjata tajam dipercayai kelewang oleh penyerang berusia 20-an.Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan selepas polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes itu bersama isterinya.
“Mangsa dalam keadaan stabil dengan kesan kecederaan di kepala, muka, belakang badan dan tangan serta tikaman di bahagian badan sebelah pinggang kanan. 

“Mangsa dipercayai ditetak dengan kelewang sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan lanjut. 

“Kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan mangsa menegur kegiatan suspek yang selalu menangkap ikan menggunakan renjatan elaktrik serta dendam lama suspek kepada mangsa,” katanya semalam. 

Khalid berkata, setakat ini polis sudah merampas baju suspek dan baju mangsa serta senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. 
Sementara itu, anak mangsa, Siti Hajariah, 21, berkata bapanya sudah dipindahkan daripada HRPZII ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam untuk menjalani pembedahan. 

“Saya sedang tidur ketika dikejutkan ibu, Faridah Musa, 49, apabila melihat ayah balik ke rumah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya. 

Siti Hajariah berkata, walaupun cedera parah, bapanya masih boleh bercakap dan menceritakan kejadian yang berlaku serta individu yang menyerangnya. 

“Ayah memaklumkan dia menegur lelaki terbabit yang menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membuang sampah. 

“Berikutan teguran itu, lelaki terbabit menyerang ayah dengan senjata tajam,” katanya. 

No comments: