KUALA LUMPUR 25 Okt. - Jika semalam sepasang suami isteri yang hidup merempat di bawah jambatan di susur Lebuh Raya Metramac ke Lebuh Raya Maju Expressway di Sungai Besi di sini, boleh menarik nafas lega kerana dapat berpindah ke sebuah pangsapuri sebagai kediaman baru, hari ini mereka mendapat satu lagi berita gembira.
Ini kerana pasangan Hazmain Abdul Jalil, 28, dan isterinya, Siti Faiza Abu Bakar, 27, bersama anak sulung mereka berusia setahun iaitu Siti Norafida dapat bertemu dengan keluarga setelah enam tahun berpisah.
Kisah kehidupan daif tiga beranak menumpang berteduh di bawah jambatan itu akhirnya diketahui oleh ibu Siti Faiza iaitu Siti Rohani Abdullah, 52, melalui akhbar dan siaran berita di televisyen pada awal pagi semalam.
Siti Rohani yang memang sudah lama mencari dan merindui Siti Faiza, terkejut apabila mengetahui kedaifan hidup anaknya itu lalu menghubungi Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh untuk membantu menemukan mereka.
Hasil kerjasama Biro Aduan Komuniti UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Siti Rohani yang tinggal di Segamat, Johor dapat dibawa ke pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini, untuk dipertemukan dengan keluarga Siti Faiza.
Pertemuan yang boleh dibaratkan sebagai 'jejak kasih' itu cukup mengejutkan Siti Faiza dan Hazmain kerana kedatangan Siti Rohani telah dirahsiakan bagi memberi kejutan kepada pasangan tersebut.
Pertemuan pada pukul 3.55 petang itu berlangsung dalam suasana pilu kerana anak beranak terbabit masing-masing gagal menahan tangisan akibat berasa amat gembira dan bersyukur.
Tangisan Siti Faiza bertambah kuat apabila dimaklumkan oleh Siti Rohani bahawa bapanya, Abu Bakar Sulaiman sudah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung kira-kira setahun lalu dan sampai ke akhir hayatnya Allahyarham asyik menyebut nama Siti Faiza dan hajatnya untuk bertemu anaknya itu.
Menurut Siti Rohani, dia terputus hubungan dengan Siti Faiza sejak enam tahun lalu iaitu sebaik sahaja anaknya berkahwin dengan Hazmain namun tidak pernah berputus asa berusaha menjejaki anaknya itu.
"Dalam tempoh enam tahun terpisah, saya bersama arwah suami tidak jemu-jemu mencari Siti Faiza termasuk bertanya kepada rakan-rakannya.
"Sedihnya semua usaha menjejaki anak keenam saya itu gagal sehinggalah saya menontonBuletin Pagi TV3 semalam yang menyiarkan kisah kehidupan daif Siti Faiza bersama suami dan anaknya di bawah jambatan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini.
Menurut Siti Rohani, dia akan membawa keluarga Siti Faiza kembali ke rumahnya di Segamat, Johor, untuk memulakan kehidupan baru dan sudah memaafkan semua kesalahan anak dan menantunya.
Sementara itu, Siti Faiza berkata, dia tidak menghubungi keluarganya selepas mendirikan rumah tangga kerana mengalami kesempitan hidup sehinggakan tiada wang untuk membeli tiket bas balik ke kampung atau menelefon ibu bapanya.
Hazmain turut mengiakan kata-kata Siti Faiza dan menyalahkan dirinya kerana kemiskinan mereka menjadi punca hubungan isteri dan keluarga mertuanya terputus.
Sementara itu, Muhd. Khairun memberitahu, dia menyerahkan kepada Siti Rohani untuk menentukan masa depan keluarga anaknya itu selepas ini.
"Hari ini, kita membawa Siti Norafida menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor mengesahkan kanak-kanak ini mendapat jangkitan paru-paru yang kronik kerana tidak pernah mendapat suntikan imunisasi dan ubat-ubatan yang diperlukan selama ini.
"Oleh itu, Siti Norafida terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan kita membenarkan nenek dan ibu bapanya membawa dia pulang ke Segamat selepas sihat," katanya sambil memberitahu Pergerakan Pemuda UMNO Segamat juga bersedia mencarikan pekerjaan yang sesuai untuk Hazmain di Segamat nanti. Turut hadir ialah Ketua Pemuda Seputeh, Mohd. Razlan Mohamad Rafii.
No comments:
Post a Comment