RAWATAN... 33 pelombong yang diselamatkan menjalani pemeriksaan perubatan di Copiapo, Chile.
PELOMBONG TERAKHIR... Luis Urzua (kiri) bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera. DAPATKAN RAWATAN... Mario Gomez menunjukkan tanda bagus sebaik tiba di hospital. GEMBIRA... Franklin Lobos bersama anaknya sejurus keluar daripada kapsul penyelamat. TAK TERKATA... Angelica Araya bersama suami, Osman, pelombong kelima dinaikkan ke permukaan.
PELOMBONG TERAKHIR... Luis Urzua (kiri) bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera.
Antara lain, mereka diminta menjadi model bagi pelbagai produk, daripada produk coklat hingga ubat penguat tenaga batin.
Permintaan temubual daripada media juga amat banyak dengan setiap satu menjanjikan imbuhan jauh lebih tinggi daripada gaji bulanan mereka sebanyak RM2,700.
Gergasi teknologi dunia, Apple, menganugerahkan seunit iPod bagi setiap seorang pelombong yang terselamat.
Selain itu, suatu kemestian adalah tawaran daripada penggerak industri perfileman Hollywood.
Beberapa syarikat penerbitan di Britain, Perancis dan Jerman membeli hak mendapatkan cerita mengenai pengalaman mereka terkurung lebih dua bulan di dalam tanah yang ditulis oleh wartawan bebas, Jonathan Franklin, yang bertajuk 33 Men Buried Alive (33 Lelaki Tertanam Hidup-hidup).
Syarikat William Hill pula bersedia dengan idea untuk menerbitkan filem dengan beberapa cadangan judul yang menarik.
Jurucakap syarikat itu, Rupert Adams, berkata operasi menyelamat pelombong itu saja sudah amat menarik dan pihaknya yakin akan ada filem diterbitkan mengenainya tidak lama lagi.
“Tetapi ia hanya akan dianggap berjaya apabila mencatat kejayaan pada musim Krismas nanti,” katanya.
Bagi watak ketua pelombong, Luis Urzua, pilihan popular adalah aktor Benicio Del Toro yang baru saja membawa peranan sebagai ikon Amerika Selatan, Che Guevara dalam filem Che.
Tidak terkecuali adalah pelakon filem Zorro, Antonio Banderas.
William Hill juga menjangkakan, 13 Oktober - tarikh operasi menyelamat itu dijalankan - bakal diumum sebagai hari cuti umum di Chile.
Dua kuasa besar dalam sukan bola sepak, Real Madrid dan Manchester United turut menunjukkan minat apabila menjemput pelombong berkenaan sebagai tetamu istimewa menyaksikan perlawanan mereka di Eropah.
Seorang daripada pelombong terbabit yang menyanyikan lagu Elvis Presley bagi mengekalkan semangat rakan-rakannya ditawarkan melawat kediaman Raja Rock & Roll itu di Graceland, Tennessee.
Sementara itu, nasib pelombong terbabit yang membanting tulang jauh di dalam perut bumi - tanpa mendapat bayaran yang setimpal - dijangka berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Setiap hari sebelum tragedi berlaku, mereka menuruni lubang itu untuk mencari emas dan kini, selepas 10 minggu, mereka menghirup udara segar dengan sesuatu yang lebih bernilai.
Ia berupa pengalaman tidak terbanding dengan apa saja yang ada dalam dunia, iaitu terkurung selama lebih dua bulan di dalam perut bumi.
Kejadian itu turut membawa kesan sampingan bagi banyak isu semasa dunia.
Stesen penyiaran Britain, BBC, misalnya, memendekkan liputan mengenai anugerah Oscar dan Sidang Kemuncak G20.
Selepas diselamatkan, 30 pelombong itu akan menjalani pemantauan berterusan di hospital bagi mengesan jika ada masalah fizikal atau mental.
Tiga lagi rakan mereka pula mengejutkan doktor apabila didapati tidak mengalami sebarang masalah dan dibenarkan pulang.
Pegawai penyelamat berkata, ketika pelombong itu dibawa keluar, hanya segelintir menunjukkan ada masalah kesihatan walaupun kebanyakannya mengadu sukar tidur.
Sesetengahnya didapati mengalami tekanan perasaan yang tidak serius, manakala seorang dirawat kerana pneumonia.
Dua lagi pelombong pula didapati perlu mendapatkan rawatan pergigian.
Sementara itu, kerajaan Chile berjanji untuk menjaga kebajikan pelombong terbabit selama sekurang-kurangnya enam bulan sehingga mereka benar-benar pasti keadaan kembali pulih.
Pada masa sama, pakar perubatan yakin hidup pelombong terbabit tidak akan mengalami masalah untuk kembali menjalani hidup normal.
Presiden Chile, Sebastian Pinera, berkata dia akan menjemput pelombong terbabit ke istana di Santiago sebagai tetamu khas.
Misi menyelamat itu sebenarnya berlangsung di luar jangkaan apabila dilakukan dengan lancar dan pantas.
Seorang demi seorang pelombong muncul dari dalam lubang itu dan melihat bagaimana bumi disinar matahari untuk kali pertama selepas dua bulan.
Insiden terkurung selama 69 hari itu turut mencatat rekod sebagai kejadian terperangkap paling lama dalam sejarah.
Menjelang jam 1.55 pagi (waktu tempatan), semua 33 pelombong berjaya ditarik keluar dan operasi menyelamat itu ditamatkan secara rasmi selepas disempurnakan lama sebelum ia dijangka selesai.
Selepas 69 hari di bawah tanah - termasuk tempoh dua minggu mereka dikhuatiri mati - mereka melambai tangan tanda gembira dan selamat, bukan saja kepada warga Chile, malah penduduk dunia yang mengikuti perkembangan mengenainya.
Di ibu negara Chile, Santiago, bergema dengan bunyi hon daripada orang ramai yang teruja menyambut berita gembira itu, manakala di bandar Copiapo - tempat asal 24 daripada pelombong terbabit - datuk bandarnya mengisytiharkan sekolah bercuti bagi membolehkan orang ramai menyaksikan detik bersejarah berkenaan.
Semua saluran berita, sama ada di Amerika Utara, Eropah atau Asia Barat turut menyiarkan laporan lintas langsung operasi berkenaan. - Agensi
sumber
No comments:
Post a Comment