Pages

Sunday, October 17, 2010

Bas maut


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/17

  • Foto
  • Foto

  • Foto
Sikap manusia punca jalan raya jadi pusara

SELANG beberapa bulan, akan ada kemalangan ngeri di negara kita terutama membabitkan bas dan terbaru, 12 nyawa melayang hingga menimbulkan semula persoalan bagaimana tragedi itu berlaku. Sememangnya banyak cadangan dan pandangan yang disuarakan apabila ia terjadi tetapi ia selalunya tidak ke mana.Apabila berlaku saja kemalangan seperti itu, ramai pihak melontarkan pelbagai pandangan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab pula akan muncul dengan saranan serta cadangan tertentu. Tetapi bila diperhati, sesetengah kenyataan itu bagaikan ‘hangat-hangat tahi ayam.’Ini semua perlu kajian menyeluruh dan cari punca sebenar hingga ke akar umbi, bukan ‘mencari kesalahan’ semata-mata. Bayangkan, purata 18 kematian di jalan raya setiap hari di bumi Malaysia ini.

Selain kelajuan dan mengantuk yang menjadi faktor utama kemalangan berlaku, ada beberapa faktor lain yang perlu diambil kira jika ingin melihat tragedi ngeri itu tidak berulang sekurang-kurangnya dalam tempoh waktu terdekat.

Perunding Pengangkutan Awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata keadaan jalan raya tidak boleh dikaitkan sebagai faktor kerana tahap lebuh raya di Malaysia setaraf dengan di Britain.

“Pemandu memandu melebihi had laju kerana mengejar trip. Jika kita boleh padamkan keinginan itu, saya yakin kemalangan boleh dielakkan. Ia boleh dibuat dengan cara kerajaan menetapkan gaji minimum untuk pemandu bas. 
“Sebagai contoh, jika gaji minimum untuk pemandu ditetapkan pada kadar RM1,500 sebulan, mereka tidak akan gila mengejar trip kerana ada atau tidak trip, mereka tetap akan menerima gaji itu. Apa yang berlaku sekarang ialah gaji asas pemandu terlalu rendah dan mereka perlu menampungnya dengan trip.

“Apabila terlalu mengejar trip, mereka tidak cukup tidur dan keletihan. Dalam keadaan itu, kemalangan amat mudah berlaku,” katanya.

Katanya, pemandu bas di negara ini jauh ketinggalan dari segi pengetahuan dan ilmu berbanding pemandu negara maju yang amat memahami kerjaya mereka. Pemandu di negara maju mempunyai pengetahuan meluas mengenai tugas mereka melalui pembacaan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya keselamatan penumpang.

“Kajian menunjukkan 18 orang meninggal dunia setiap hari di Malaysia akibat kemalangan. Namun jika kita bertanya kepada pemandu bas, berapa ramai yang tahu data itu? Dalam 10 orang, saya rasa susah nak jumpa seorang yang tahu perangkaan itu.

“Lain halnya dengan pemandu di luar negara. Mereka membaca dan pengetahuan mereka luas yang menjadikan mereka begitu faham kerjaya mereka. Mereka tidak gopoh dan bersistematik. Lain dengan kita di negara membangun dan negara dunia ketiga. Tamadun kita belum sampai ke tahap mereka yang menjadikan kita kurang berpengetahuan dan agak gopoh.

“Bayangkan jika pemandu kita tahu mengenai data 18 kematian sehari setiap hari akibat kemalangan, saya percaya mereka akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga mencadangkan diperkenalkan satu kempen supaya orang di sekeliling berperanan dalam mendidik pemandu supaya lebih bertanggungjawab.

“Orang yang paling dekat dengan pemandu ialah isteri, anak dan penumpang. Mungkin ada baiknya jika ada iklan isteri mengingatkan suami mengenai data 18 kematian sehari dan meminta supaya suami mematuhi had laju.

“Begitu juga perlu ada satu mekanisme mendekatkan penumpang dengan pemandu supaya penumpang boleh menegur pemandu jika pemanduannya mendatangkan bahaya nyawa orang lain. Kita kena wujudkan budaya tidak takutkan pemandu bas, cuba wujudkan hubungan mesra pemandu dengan penumpang.

“Selama ini mungkin ada penumpang yang takut dengan cara pemanduan tetapi tidak ada saluran untuk menegur. Penumpang boleh menjadi pencegah kepada pemanduan melebihi had kelajuan,” katanya.

Beliau juga berkata, kemalangan membabitkan bas sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak boleh dielakkan sama sekali kerana ia berlaku disebabkan sikap manusia.

“Ini bukan masalah takdir semata-mata atau sebagainya. Ini adalah sikap manusia yang menjanjikan tragedi itu tetap berlaku tetapi jika kita boleh menjarakkan kejadian itu misalnya jika dulu enam bulan sekali menjadi setahun sekali dan kemudian mungkin lima tahun sekali, saya rasa itu sudah baik,” katanya.

Malaysia antara negara catat kes tertinggi

DI negara miskin dan membangun, kematian disebabkan kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh permukaan jalan raya yang teruk, keadaan kenderaan yang sudah uzur, pemandu mabuk dan tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini tidak wujud di negara maju. Malaysia, negara membangun tetapi sedang menuju menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Keadaan jalan raya di negara kita bertaraf ‘kelas dunia’ tetapi perangkaan menunjukkan 18 kematian sehari disebabkan kemalangan jalan raya.

Tahun lalu, laporan pertubuhan International Transport Forum berpejabat di Paris, menyenaraikan Malaysia antara 33 negara mencatatkan kematian nahas jalan raya tertinggi iaitu 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduknya. Jalan raya di Britain, sebaliknya disifatkan sebagai paling selamat dengan purata 3.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk. Tiga negara yang mencatatkan rekod nahas yang kian buruk adalah Argentina, Kemboja dan Malaysia dengan peningkatan 12 peratus kes kematian jalan raya pada 2000 berbanding 2009.

Kajian itu hanya mengulangi peringatan menerusi penyelidikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1999 yang menganggarkan antara 750,000 hingga 880,000 kematian nahas jalan raya, majoritinya atau 85 peratus membabitkan negara membangun.

Di Nigeria misalnya, kajian kematian akibat kemalangan menunjukkan penyebab utama ialah sikap manusia itu sendiri. Contoh paling jelas ialah pemandu yang mabuk. Manusia juga cuai untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik malah selalunya gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Di sesetengah negara, kanak-kanak tidak dibenarkan duduk di depan, begitu juga menjadi satu kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan. Namun peraturan itu tidak dilaksanakan di negara membangun.

Keadaan jalan juga menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya di seluruh dunia. Jalan raya di pedalaman selalunya membahayakan. Dalam konteks negara membangun, keadaan jalan raya adalah faktor utama kemalangan. 

Banyak jalan menjadi perangkap maut dengan lubang digali di sepanjang jalan. Jalan raya juga dihalang oleh kenderaan rosak atau sampah yang dibuang agensi kerajaan. 

Papan tanda juga tidak banyak membantu. Projek yang terbengkalai selalunya menyebabkan jalan raya tidak dibina dengan baik dan akhirnya membahayakan manusia.

Di negara maju, agensi yang bertanggungjawab tidak menutup lubang atau kemudahan pengairan akan dipertanggungjawabkan di atas sebarang bentuk kemalangan. Di negara membangun, kerajaan bertanggungjawab memastikan kenderaan yang dijadikan pengangkutan awam memenuhi piawaian minimum dan bertanggungjawab sepenuhnya bagi pembinaan dan keselamatan jalan raya.

Kajian antarabangsa juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi dinaunginya seperti WHO, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan serta Bank Dunia perlu menubuhkan badan khas mengawasi peranan kerajaan dalam menangani kemalangan jalan raya dalam usaha membendung peningkatan kemalangan jalan raya di negara membangun.

Antara nahas bas di luar negara setakat tahun ini:


  • Nigeria: Tiang elektrik patah di Port Harcourt, menimpa dua bas menyebabkan 11 maut terkena kejutan elektrik pada 13 Februari

  • India: Sebuah bas yang membawa rombongan tetamu majlis perkahwinan terjunam ke dalam gaung di India yang membunuh 22 orang pada 17 Februari.

  • Peru: Dua bas bertembung di Lebuh Raya Panamerican membunuh 38 orang pada 22 Februari.

  • Nepal: Sebuah bas yang penuh sesak terjunam ke dalam sungai di Kathmandu mengorbankan 24 orang pada 18 Mac.

  • Pakistan: Sebuah bas terjunam ke dalam sungai di Haramosh Peak membunuh 12 orang pada 16 April.

  • China: Trak bertembung dengan bas di wilayah Liaoning yang mengorbankan 32 orang pada 23 Mei.

  • Korea Selatan: Sebuah bas terjatuh daripada jambatan membunuh 12 orang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 3 Julai.

  • Albania: Empat belas maut apabila sebuah bas terjatuh daripada cerun berhampiran bandar raya Durres pada 18 Julai.

  • Ukraine: 40 maut apabila bas yang melintasi melanggar lampu merah dilanggar kereta api pada 12 Oktober. 
  • No comments: