sumber
COPIAPO, Chile 15 Okt. - Media Chile dilapor berlumba-lumba bagi mendapatkan berita eksklusif daripada 33 pelombong yang terperangkap di bawah tanah selama lebih dua bulan, dengan menawarkan pelbagai 'habuan' kepada pelombong-pelombong terbabit.
Selepas terperangkap dalam gelap serta sempit di bawah tanah, 'selebriti-selebriti' baru itu dihujani tawaran pelancongan mewah dan wang tunai untuk ditemuramah pemberita semasa mereka meninggalkan hospital, semalam.
"Tidak seperti media lain, kami membayar anda," kata seorang wartawan yang menyusup di celah-celah orang ramai kepada Brunela Oliva, isteri pelombong Renan Avalos, semasa wanita itu meninggalkan hospital Copiapo di utara Chile.
Oliva berkata, dia akan berbincang dengan suaminya tentang tawaran wawancara eksklusif itu, yang bakal mendedahkan pengalaman suaminya yang tinggal di satu ruang gelap di bawah tanah bersama 32 pelombong lain.
Kebanyakan keluarga pelombong dilihat bakal mengenakan bayaran kepada media bagi mendapatkan cerita tentang pengalaman pelombong-pelombong terbabit, sekali gus mendedahkan setiap detik peristiwa yang menjadi tarikan berjuta-juta penduduk seluruh dunia, bermula dari hari lombong itu runtuh pada 5 Ogos lalu hinggalah kepada operasi menyelamat yang berjaya dilaksanakan dengan selamat, kelmarin.
"Ia memang logik. Media akan dapat banyak keuntungan daripada kami. Kami juga perlu dibayar. Kisah ini penuh emosi," kata Oliva kepada AFP selepas menceritakan kegembiraannya kerana dapat bertemu suaminya semula.
Avalos, 29, merupakan seorang daripada 33 pelombong yang berjaya diselamatkan dalam satu operasi menyelamat menggunakan kapsul penyelamat yang dibawa naik melalui terowong sempit lewat malam kelmarin.
Kakak tiri seorang pelombong lagi, Claudio Yanez Lagos berkata, para pelombong terbabit bercadang meminta bayaran sebanyak 20 juta pesos (RM128,928) bagi setiap sesi wawancara.
"Mereka telah membuat satu perjanjian bersama untuk mengenakan bayaran," kata Jennifer Navarrete Lagos ketika meninggalkan hospital.
Kira-kira 2,000 pemberita membanjiri lombong San Jose di utara Chile semasa operasi menyelamat dijalankan bagi mendapatkan laporan tentang pelombong dan keluarga mereka, yang kemudian meminta wang sebagai bayaran.
Sementara itu, tiga pelombong pertama dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas menerima rawatan.
Kesemua 33 pelombong yang terperangkap sejauh hampir 700 meter di bawah tanah di sebuah lombong emas dan tembaga berjaya diselamatkan dalam satu operasi yang mengambil masa lebih 22 jam yang berakhir lewat malam Selasa lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment