Pages

Monday, September 6, 2010

NZ diancam gegaran susulan



Beberapa orang Inspektor bangunan memeriksa rumah-rumah yang rosak akibat gempa bumi di bandar Christchurch, kelmarin. - REUTERS


CHRISTCHURCH New Zealand 5 Sept. - New Zealand bersedia menghadapi lebih kemusnahan hari ini apabila berlaku lebih banyak gegaran susulan dan satu ribut dilaporkan mengancam bandar ini, kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi dalam tempoh berdekad-dekad, semalam.
Perdana Menteri John Key berkata, adalah satu keajaiban apabila tiada kematian dilaporkan dalam gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter semalam.
Namun, katanya, gempa itu mengakibatkan kerugian berbilion dolar di bandar ini, yang merupakan bandar kedua terbesar di New Zealand.
Pegawai pertahanan awam memberi amaran bahawa gegaran susulan yang berterusan dengan kekuatan sehingga 5.4 pada skala Richter diiringi angin kencang, boleh mengancam struktur bangunan-bangunan yang lemah.
Walaupun mengalami kemusnahan teruk, tiada seorang pun daripada 340,000 penduduk Christchurch maut apabila gempa melanda bandar ini awal pagi semalam.
"Satu kesimpulan ajaib yang boleh dilihat, gempa ini tidak mengorbankan walau satu nyawa," kata Key ketika meninjau kemusnahan di sekitar bandar ini.
Walaupun tiada kemalangan jiwa, pegawai pertahanan awam memberi amaran, keadaan darurat masih belum berakhir apabila lebih 30 gegaran susulan direkod dalam tempoh 24 jam selepas gempa bumi melanda dan ia dijangka berterusan beberapa minggu lagi.
Satu ramalan kaji cuaca pula menyatakan, angin kencang sehingga 130 kilometer dijangka melanda malam ini disusuli hujan lebat esok.
"Angin kencang boleh membawa kemusnahan lebih teruk kepada bangunan yang rosak dan strukturnya yang telah terjejas akibat gempa bumi, semalam.
"Hujan pula boleh mendatangkan masalah kepada infrastruktur bandar yang telah terjejas begitu juga kepada penduduk yang kini terdedah setelah hilang tempat tinggal dan harta benda," kata Jabatan Pertahanan Awam dalam satu kenyataan.
Selain gegaran susulan dan ribut, satu ancaman baru timbul malam tadi apabila benteng penghalang banjir di Sungai Waimakariri, di utara Christchurch, didapati lemah dan dikhuatiri pecah sekiranya hujan lebat menyebabkan paras air sungai melimpah. - AFP

No comments: