Pages

Saturday, September 25, 2010

Novel mengenai Nabi Muhammad SAW




WASHINGTON - Pakar motivasi dan pengarang bertaraf antarabangsa, Deepak Chopra, menghasilkan novel terbaru mengenai Nabi Muhammad SAW yang disampaikan dengan gaya penulisan kreatif.

Novel Muhammad A Story of the Last Prophet: (2010) lahir selepas novel :Buddha: A Story of Enlightenment: (2007) dan Jesus A Story of Enlightenment: (2008) yang mendapat sambutan masyarakat antarabangsa daripada pelbagai kaum dan agama berikutan kemampuan Chopra mengangkat kisah kehidupan, perjuangan, pengajaran dan nilai-nilai positif secara positif melalui gaya penulisan kreatif.

Sebagaimana buku mengenai Siddhartha Gautama dan Nabi Isa, Chopra menekankan bahawa buku mengenai Nabi Muhammad SAW bukan sebuah biografi, sebaliknya sebuah karya fiksyen naratif berdasarkan fakta dan kajian.

Pengarang menggunakan sudut pencerita orang pertama yang berlainan bagi setiap bab; misalnya puteri-puteri baginda, seorang katib Yahudi yang bekerja dengan baginda di Madinah, seorang abdi warga Afrika bernama Barakah dan Abu Sufyan iaitu pemimpin Quraisy di Mekah yang pada awalnya menentang baginda.

Kisah dalam novel ini bukan sahaja membantu pembaca mengenali sifat-sifat mulia Nabi Muhammad SAW, malah membantu memahami keadaan sosial, politik dan ekonomi pada zaman baginda.

Novel ini juga boleh didapati dalam versi cakera padat (CD) audio yang terdiri daripada tujuh CD dan dibacakan sendiri oleh pe-ngarang.

Chopra yang lahir pada 22 Oktober 1946 pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Perubatan dan Kardiologi di Hospital Mool Chand Khairati Ram, New Delhi, India selama lebih 25 tahun.

Beliau turut menghasilkan buku-buku seperti :Peace Is the Way: Bringing War and Violence to an End (2005), Why Is God Laughing? The Path to Joy and Spiritual Optimism: (2008) dan :The Ultimate Happiness Prescription: 7 Keys to Joy and Enlightenment :(2009).

No comments: