Pages

Saturday, September 25, 2010

Kesesakan trafik makin teruk di Beijing



GAMBAR fail menunjukkan kesesakan jalan raya yang berlaku di Beijing, China pada 3 September lalu.


BEIJING - Masalah kesesakan jalan raya bukan perkara baru di bandar raya Beijing, China yang mempunyai jumlah penduduk seramai 17 juta orang.
"Saya tidak pernah mengalami satu pengalaman yang teruk (kesesakan jalan raya)," kata seorang pemandu kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Liu.
Menurutnya, kenderaan bergerak terlalu perlahan tetapi dia tidak boleh melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kesesakan itu diburukkan lagi dengan kenaikan jumlah jualan kereta sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Secara puratanya, sebanyak 1,900 unit kereta baru dijual pada setiap hari pada tahun ini. Penjualan itu menjadikan jumlah kenderaan di Beijing mencecah 4.5 juta unit sehingga bulan Julai lalu.
Pusat Penyelidikan Pengangkutan Beijing menganggarkan bahawa pemilikan kereta mencecah tujuh juta unit menjelang tahun 2015.
Jumlah itu boleh menyebabkan purata kelajuan pemanduan di bandar cuma 15 kilometer sejam (km/j).
Bilangan kenderaan di Beijing meningkat kepada 415,000 unit kenderaan pada tahun lalu dan lebih 600,000 unit lagi pada tahun ini.
"Di Beijing, bilangan kereta yang dimiliki oleh keluarga, pertumbuhan kadar pemilikan kereta dan kekerapan penggunaan kereta adalah lebih tinggi berbanding bandar-bandar lain seperti Tokyo dan New York," kata Ketua Pusat Penyelidikan Pengangkutan Beijing, Guo Jifu. Berdasarkan satu kaji selidik global, Beijing dan Bandar Raya Mexico dianggap sebagai bandar yang paling sukar untuk bergerak pada tahun ini.
Kesesakan jalan raya di China mendapat perhatian masyarakat antarabangsa pada bulan lalu apabila masalah itu berterusan selama 10 hari di sepanjang sebuah lebuh raya utama sejauh 100 kilometer di pinggir bandar Beijing. - AP

No comments: