“KAU dah gatal ke apa?” Itulah pertanyaan terpacul spontan daripada mulut ibu Zainor Masziah Zainudin yang masih teriang-ngiang di telinganya sehingga hari ini.
Tidak menyalahkan ibunya itu, Zainor menyedari tindakan meluahkan keinginan untuk mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun ketika baru menamatkan sekolah menengah pasti membuatkan mana-mana ibu bapa terkejut besar.
Namun, tidak mahu kasih sayangnya terhadap seorang lelaki membuatkan dia menjadi anak derhaka, Zainor memohon keizinan ibu bapa dengan penuh tertib.
Apatah lagi, kedua ibu bapa beliau sememangnya sudah pun mengenali jejaka pilihannya, Muhammad Bakhtiar Aznan yang ketika itu berusia 21 tahun. Jika cerita cinta pada usia belasan tahun bagi sesetengah orang dipanggil cinta monyet, tetapi Zainor dan Bakhtiar membuktikan cinta yang dibina sejak mereka masing-masing berusia 14 dan 17 tahun mampu menjejak ke jenjang pelamin.
“Ibu mana yang tidak terkejut dengan soalan saya yang ingin berumah tangga pada usia yang sangat muda. Tetapi orang tua saya memang sudah tahu pilihan hati saya kerana saya memang tidak menyorokkan hubungan bersama Bakhtiar,” kata Zainor yang mengakui pernah dipisahkan dengan Bakhtiar apabila dihantar belajar di sebuah kolej di Melaka.
Mengimbau detik-detik yang menduga cinta remaja mereka kira-kira tujuh tahun lalu, ungkap Bakhtiar, hati kekasih mana yang tidak berduka lara apabila buah hatinya dihantar belajar sampai ke Melaka sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah berjauhan sewaktu menginap di kawasan kejiranan berdekatan di Serdang, Selangor.
“Bayangkan dari sekolah lagi kami tidak pernah berpisah. Tiba-tiba keluarga Zainor menghantar dia ke Melaka untuk meneruskan pelajaran. Sebab itulah, demi Zainor saya sanggup ke Melaka sampai tiga kali seminggu untuk bertemunya,” jelas Bakhtiar yang mengakui kerana kesungguhan itulah yang mungkin melembutkan hati mertuanya.
Ujian berkeluarga
Mendirikan rumah tangga secara sederhana, Zainor dan Bakhtiar tidak menafikan menempuh gerbang perkahwinan pada usia remaja menuntut banyak dugaan berbanding pasangan lain.
Antaranya termasuklah persepsi negatif masyarakat sekeliling yang melihat perkahwinan pada usia yang muda seperti mereka disebabkan oleh pasangan tersebut terlanjur.
“Tidak terlalu mengambil pusing dengan pendapat seperti itu, apa yang lebih penting pada saya ketika itu adalah untuk mendapat restu daripada orang tua kedua-dua belah,” ungkap Zainor.
Malah, akuinya kerana restu itu jugalah, akhirnya dugaan seterusnya yang dihadapi oleh mereka sebagai pasangan suami isteri muda dapat ditempuhi dengan lebih mudah.
Ujar Zainor, selepas setahun menempuh gerbang perkahwinan dia melahirkan zuriat comel bernama Muhammad Ashil Shafwan. Namun, oleh kerana dia masih belum bekerja, ketiga-tiga anak-beranak itu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan Bakhtiar yang bekerja sebagai mekanik dengan gaji RM800 sebulan.
“Memang kami kena berjimat-cermat untuk meneruskan hidup dan membesarkan anak. Tahu sajalah membeli keperluan bayi zaman sekarang bukanlah murah. Tetapi mujur, apabila perkahwinan mendapat restu orang tua di kedua-dua belah pihak, ibu bapa dan mertua saya banyak menghulurkan sokongan.
“Malah ketika itu, untuk berjimat-cermat kami tinggal bersama-sama dengan mentua saya,” ujar Zainor yang bersyukur selepas melahirkan anak kedua, Aliya El Quzandrea, 4, rezeki mereka juga bertambah apabila suaminya mendapat kerja di Jabatan Penerbangan Awam, manakala dia sendiri bertugas sebagai kerani eksekutif di sebuah syarikat di Kelana Jaya.
Cinta zaman sekolah
Berkongsi jalan cerita yang hampir sama apabila mendapat tentangan keluarga kerana dianggap masih mentah, bagaimanapun hasrat pasangan Muhammad Razie Abd. Rahman, 23, dan Nurul Nadia Md. Mokhtar, 22, tertunai juga selepas mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu.
Bermula sebagai teman rapat, namun disebabkan, perjalanan hidup banyak diluangkan bersama iaitu sejak bangku sekolah menengah sehingga menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka sukar untuk dipisahkan.
Malah, kedua-duanya juga mempunyai minat sukan yang sama sebagai atlet hoki kebangsaan.
“Saya akui berkahwin pada usia 22 tahun memang agak muda. Malah, hasrat kami bergelar suami isteri turut ditentang oleh abang. Bagaimanapun, saya menerima teguran itu dan berani ‘berdiri’ untuk menyakinkan bahawa kami sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ditanya mengenai dakwaan segelintir masyarakat bahawa pasangan berkahwin muda berisiko tinggi untuk menemui jalan perceraian kerana dikatakan kurang matang celah Nadia, situasi itu bergantung kepada pasangan terbabit.
Misalnya, berlaku perselisihan faham, jalan penyelesaiannya adalah pasangan tersebut tidak boleh memendam perasaan.
Sebaliknya, mereka harus berani berhadapan dan bersemuka menanyakan perkara yang terbuku di hati.
“Perceraian tidak boleh disalahkan akibat usia pasangan itu. Bagaimanapun, paling penting rumah tangga perlu ada kejujuran dan komunikasi yang baik antara pasangan anda,” terangnya.
Elak gejala sosial
Meluahkan kisah perkahwinan mudanya pada usia 19 tahun, Siti Arina Abdul Hashim, 24, tidak pernah menyesal memegang status isteri pada usia itu.
Baginya daripada melakukan perbuatan terkutuk atau terlanjur, elok sekiranya hubungan itu diikat dengan ikatan yang sah.
Menurut Arina yang bekerja sebagai kerani lagi, ketika awal berumah tangga kedudukan kewangan dia dan suami boleh dikatakan cukup sederhana.
“Memang secara jujur kami pernah berhadapan dengan masalah kewangan pada awal perkahwinan. Namun, dengan usaha yang gigih dan saling berusaha mencari pendapatan, kami dapat menyelesaikannya dengan baik,” terangnya yang kini memiliki seorang cahaya mata bersama suami tercinta, Azli Hussein, 26.i.
No comments:
Post a Comment