LONDON - Bandar raya London kini menjadi tumpuan keluarga bilionair dari negara-negara Asia Barat seperti Kuwait, Abu Dhabi, Arab Saudi, Qatar dan Dubai untuk memandu kereta sport mewah yang dibawa khas dengan menggunakan jet peribadi, lapor sebuah akhbar semalam.
"Tidak seperti Amerika Syarikat (AS) atau Perancis, penduduk di London dirasakan lebih mengalu-alukan kedatangan mereka. London juga dikatakan selamat dan penduduknya mesra," kata Editor akhbarAl-Quds, Hussam Baramo. Kawasan Knightsbridge yang terletak di barat London kini dikenali sebagai Little Kuwait.
Kehadiran keluarga bilionair itu menyebabkan kereta mewah Bugatti Veyron, Ferrari atau Rolls-Royce begitu mudah dilihat oleh orang ramai di London.
Sebuah kereta mempunyai nombor plat 999 namun pemandunya adalah seorang lelaki muda berusia 25 tahun dan berpakaian seperti pemandu lumba kereta Formula Satu (F1), Lewis Hamilton.
Golongan wanita Arab Saudi tidak lagi memakai burqa di London. Sebaliknya, mereka memakai seluar jean ketat dan kasut tumit tinggi. Penduduk-penduduk berhampiran pusat beli-belah di Knightsbridge memberitahu, pada waktu malam mereka mendengar bunyi kereta sport.
Pemilik kereta-kereta itu berlumba antara satu sama lain dan sudah menjadi seakan-akan perlumbaan kereta Le Mans.
Semasa berada di London, gadis-gadis dari Asia Barat akan bersiar-siar dalam kumpulan atau ditemani oleh ibu masing-masing.
Pemuda-pemuda keluarga kaya Arab akan duduk di luar kafe di Knightsbridge dengan setiap seorang mempunyai tiga telefon bimbit dan duduk di sebelah Ferrari serta Lamborghini.
Menurut seorang penjual barang kemas, Stephen Webster, semasa bulan Ogos, kakitangan kedai itu diminta untuk membawa cincin, rantai tangan, kalung leher yang mahal ke bilik hotel di Knightsbridge.
"Pelanggan-pelanggan Arab suka membeli-belah pada lewat malam manakala kedai kami tidak dibenarkan beroperasi lewat malam. Oleh itu, kami gembira untuk membawa barang kemas itu kepada mereka," tambahnya. - Agensi
No comments:
Post a Comment