Pages

Tuesday, August 10, 2010

Mariam seniwati filem Melayu 50-an meninggal dunia




SENIWATI filem Melayu tahun 50-an, Mariam Baharum 75, iaitu ibu kepada penyanyi terkenal Rahimah Rahim meninggal dunia di rumahnya di sini, pagi semalam. 

Menurut ahli keluarganya, Mariam, bekas pelakon veteran di Studio Malay Films Production di Jalan Ampas, meninggal dunia kerana sakit tua di kondominiumnya di Yishun kira-kira jam 5.50 pagi. 

Allahyarham Mariam adalah kakak kepada seorang lagi primadona filem Melayu, Allahyarham Datin Saadiah iaitu isteri kepada pelakon, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, dan ibu kepada pelakon cilik, filem 'Batu Belah Batu Bertangkup' Allahyarham Bat Latiff. 

Mariam atau lebih dikenali dengan panggilan Mariam Tahi Lalat dalam kalangan peminatnya, dilahirkan di Singapura pada 1935, dan pernah berlakon bersama seniman agung, Allahyarham P Ramlee dalam filem 'Anjuran Nasib' arahan B S Rajhans pada 1952. 

Melalui filem ini, Mariam memenangi gelaran ‘Bintang Pujaan Wanita Malaya Kedua’ oleh Filem Raya Magazine pada 1953 dan juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-15 pada 2001 dan FFM ke-22 di Kota Kinabalu tahun lalu. 

Mariam, adalah bekas pelayan restoran sebelum menceburi dunia perfileman, juga pernah berlakon dalam filem seperti 'Aloha' (1950), 'Dewi Murni' (1950), 'Kembar' (1950), 'Aladdin' (1952), 'Kipas Hikmat' (1955), 'Abu Hassan Penchuri' (1955) dan 'Antara Dua Darjat' (1960). 

Antara pelakon yang seangkatan dengannya ialah Kasma Booty, Osman Gumanti, Datuk Mustapa Maarof, pelawak S Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang. 

Allahyarham meninggalkan enam anak daripada dua perkahwinan. - Bernama

No comments: