Pages

Thursday, August 5, 2010

Nenek hasrat sambung PhD




JOHOR BAHRU –- Walaupun susuk tubuhnya kecil, siapa sangka beliau seorang nenek kepada sembilan cucu, malah satu-satunya guru besar yang memiliki Ijazah Sarjana Kepengetuaan dari Universiti Malaya (UM). 

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Johor Jaya 1, Mollie Atan, 56, bukan calang-calang orangnya. 

Beliau tidak pernah berputus asa, malah bercita-cita meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi tahun depan. 

“Kenapa apabila kita sudah bersara, kita berhenti daripada melakukan sesuatu? Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Bagi saya kita patut terus berjuang memberi satu faedah kepada negara," katanya ketika ditemui, semalam. 

Beliau juga bercita-cita mahu membina sekolah swasta di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada pesara yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan. 

Mollie turut mengagumi sifat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kerana kelantangan pemimpin yang disegani ramai itu dalam mengutarakan idea dan ilmu walaupun selepas usia bersara. 

Mengulas pengalaman beliau selama dua tahun bergelar pelajar separuh masa di UM, Mollie berkata, ia satu detik yang tidak mungkin dilupakannya. 

Malah, katanya, menaiki bas selama lima jam setiap minggu dari Johor Bahru- Kuala Lumpur sudah menjadi rutin. 

“Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan pengajian. Ada segelintir nenek-nenek di usia saya memilih untuk menjaga cucu, namun saya memilih haluan berbeza. Berkat sokongan suami, anak-anak, rakan-rakan, saya berjaya dinobatkan sebagai wanita dan guru besar pertama memiliki ijazah sebegini,” katanya. 

Mula bertugas sebagai guru pada 1976 selepas menamatkan pengajian di Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Mollie kemudian melanjutkan pengajian pengajian School Profesional and Continuing Education (Space) luar kampus selama lima tahun dalam bidang kaunseling di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Kelmarin, beliau menerima Ijazah Sarjana Kepengetuaan pada majlis konvokesyen UM, daripada Pro Canselor UM, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

No comments: